Jenayah

Lori balak terbenam dalam jalan

lori terbenam

MENTAKAB – Sebuah lori dengan muatan kayu balak terbenam ke dalam jalan raya gara-gara paip utama pecah menyebabkan Jalan Pekeliling antara kawasan sesak di bandar ini terpaksa ditutup semalam.

Kejadian berlaku jam 6.50 pagi semalam apabila lori dipandu Hanifah Jusuh 30, dari Kawasan Perindustrian Songsang dalam perjalanan ke Batu 5 Jalan Karak di sini untuk menghantar muatan itu.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, dia melihat paip air di kawasan itu sudah pecah dan air keluar ke permukaan jalan.

“Masa itu kiri kanan jalan banyak kereta ibu bapa hantar anak ke sekolah, saya tidak ada pilihan lain kecuali mengikut laluan tengah tempat paip itu pecah.

“Sebaik melalui kawasan itu, tayar hadapan terus tenggelam dan mendap dalam lubang dan lori langsung tidak boleh bergerak.

“Saya hubungi majikan untuk memindahkan semua kayu balak ke sebuah lori lain,” katanya.

Hanifah berkata, kerja memindahkan kayu balak itu mengambil masa dua jam dan pihak berkuasa terpaksa menutup jalan utama itu supaya keadaan terkawal.

Pegawai Operasi Perbadanan Air Pahang Berhad (Paip), Basri Abdul Mubin yang hadir ke tempat kejadian memaklumkan kerja penyambungan paip bersaiz 15 inci itu hanya boleh dimulakan kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Menurutnya, pihaknya mendapat aduan paip utama pecah itu berlaku awal pagi semalam kira-kira jam 5 pagi dan pihaknya memang merancang untuk membaiki kerosakan tersebut secepat mungkin memandangkan laluan itu antara kawasan yang sibuk dengan kenderaan.

Menurutnya, kerja memasang paip itu dijangka siap pada sebelah malam dan pengguna diharap bersabar sepanjang kerja baik pulih dijalankan.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Temerloh, Wong Tze Shiang berkata, kejadian paip pecah itu akan menyebabkan 30,000 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air.

Menurutnya, beliau berharap kerja baik pulih dapat dilakukan secepat mungkin bagi mengelak kesulitan.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");