Jenayah

Maut kren jatuh dari tingkat 11

maut kren jatuh

Petaling Jaya: Seorang lelaki maut selepas kren yang dikendalikannya terjatuh dari tingkat 11 sebuah bangunan di tapak pembinaan di Ara Damansara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.57 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun yang baru memulakan kerja, gagal menyelamatkan diri dan tersepit apabila kren itu terjatuh dipercayai akibat permukaan lantai tidak stabil.

Mangsa yang parah di kepala dan pinggang, meninggal dunia di tempat kejadian. Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 17 di sini, mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memotong besi kren untuk mengeluarkan mayat mangsa.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

Pekerja bernasib baik

Beberapa pekerja di tapak pembinaan itu bernasib baik kerana palang kren sepanjang 43 meter itu tidak menghempap mereka.
Saksi warga Pakistan yang mahu dikenali sebagai Ali, 34, berkata dia menyedari kejadian itu selepas mendengar jeritan pekerja lain sebaik kren tumbang.

“Saya dengar pekerja lain menjerit sebelum berlari ke luar bangunan dan mendapati keadaan kecoh sebelum melihat kren itu sudah tumbang,” katanya yang baru tiga bulan bekerja di tapak pembinaan itu.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7, berkata sepasukan tujuh anggota bomba dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 9 pagi.

“Anggota bomba terpaksa memotong batang besi kren bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi, berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");