Jenayah

Maut tersepit rempuh treler

maut 2

REMBAU – Seorang pemandu maut apabila lori yang dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah treler di Kilometer 222.9, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.55 pagi itu, mangsa, Mohd Ali Abd Rahman, 52, disahkan maut oleh kakitangan kesihatan sebaik sahaja berjaya dikeluarkan kira-kira 30 minit oleh anggota bomba.

Pemandu treler, Zamri Idrus, 46, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan menghantar kira-kira 20 tong kosong dari Kuala Lumpur ke Singapura.

“Saya memandu seperti biasa di lorong paling kiri, namun saya dikejutkan dengan bunyi benda berdentum dan saya terus memberhentikan treler di lorong kecemasan.

“Sebaik turun, saya terkejut apabila melihat ada pemandu lori tersepit betul-betul di belakang treler dan dia tidak memberikan sebarang reaksi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Zamri berkata, pengalaman seumpama itu pertama kali dialaminya sejak lebih 20 tahun dia menjadi pemandu treler.

“Jika diikutkan, tiga kali seminggu saya pasti akan menjalani rutin menghantar barang dari Kuala Lumpur ke Singapura. Apabila berhadapan dengan insiden ini saya rasa amat berdebar,” katanya.

Susulan insiden berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dikejarkan ke lokasi kejadian diketuai oleh Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) 2, Mohd Yusoff Samad.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya terpaksa meminta pertolongan dari Plus untuk menarik lori mangsa yang melekat di bahagian belakang treler.

“Selepas lori selamat ditarik, kita mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal dipercayai pemandu lori mengekori terlalu rapat treler di hadapannya.

“Mangsa kemudiannya gagal mengawal kenderaan lalu merempuh bahagian belakang treler berkenaan dan disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");