Sukan Hari Ini

Mohd Fauzan Ungguli GP Akhir Kebangsaan 2013

Mohd Fauzan

KUALA LUMPUR: Pelumba elit kebangsaan, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi mengungguli acara ujian masa individu (ITT) lelaki sejauh 41.9 km, pada Kejohanan Grand Prix Kebangsaan Akhir 2013 di Melaka pada Jumaat.

Wakil Polis Diraja Malaysia itu mengatasi saingan terdekat, Mohd Nur Rizuan Zainal dari Angkatan Tentera Malaysia, dengan catatan masa 54 minit 14.644 saat berbanding Mohd Nur Rizuan yang mencatat masa 55 minit 36.360 saat.

Pelumba kelab benua Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Nor Umardi Rosdi pada kedudukan ketiga dengan catatan masa 57 minit 05.078 saat, menurut Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam satu kenyataan.

Kemenangan itu membolehkan Mohd Fauzan yang bakal bersaing pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2014 (ACC) di Kazakhstan, 21 Mei ini, dinobatkan sebagai juara keseluruhan acara itu dengan kutipan 60 mata setelah menyertai tiga sirkit – GP Perlis, GP Pahang dan GP Melaka.

Mohd Nur Rizuan muncul naib juara dengan 51 mata, diikuti Mohd Nor Umardi di tangga ketiga dengan pungutan 33 mata.

Pelumba elit kebangsaan, Mariana Mohamad pula muncul juara keseluruhan kategori wanita walaupun sekadar menduduki tangga kedua pada perlumbaan Jumaat yang melibatkan jarak 26.2 km.

Pelumba Selangor, Grace Phang yang kini berpangkalan di Australia memenangi perlumbaan itu selepas mencatat 40 minit 01.629 saat manakala Mariana ketinggalan 40.053 saat di belakang Phang.

Aimi Iwasaki Muhammad Moritashi yang mewakili Melaka sekadar berpuas hati di tempat ketiga dengan catatan masa 42 minit 06.688 saat.

Keputusan itu bagaimanapun tidak menggugat kedudukan Mariana yang muncul juara keseluruhan dengan kutipan 65 mata, lebih lima mata di atas Phang manakala tempat ketiga dimenangi pelumba kelahiran Britain, Sian Wilson yang mewakili Kuala Lumpur dengan 33 mata.

Dalam pada itu, Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab berharap Mohd Fauzan dapat mengekalkan mutu kayuhan cemerlang yang dipamerkannya pada kejohanan ACC nanti.

“Walaupun jangkaan untuk meraih pingat emas disandarkan kepada beliau pada Sukan SEA 2013 di Naypyitaw pada Disember lalu tersasar dan mengecewakan banyak pihak termasuk saya sendiri, tapi perkara ini adalah di luar jangkaan dan amat mengejutkan.

“Namun kini, saya percaya beliau mampu mengubah persepsi kejayaan dalam acara ITT di Astana dan juga Incheon nanti,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");