Jenayah

Pelajar kolej matrikulasi lemas

lemas 2

KUANTAN – Seorang pelajar Kolej Matrikulasi Gambang ditemui mati lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam tasik dalam kawasan kolej berkenaan, petang kelmarin.

Mayat Muhammad Ely Bukhari,19, dari Taman Sentosa, Karak ditemui sepasukan anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat di tengah tasik yang kedalaman empat meter kira-kira jam 9.52 malam semalam.

Mayat pelajar jurusan fizik dan sains komputer itu yang ditemui lengkap berpakaian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Sufian Mohd berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa bersama enam rakannya dipercayai beriadah berhampiran tasik berkenaan sebelum dia tiba-tiba tergelincir lalu terjatuh ke dalam tasik.

Menurutnya, seorang rakan yang melihat kejadian cuba membantu menyelamatkan mangsa bagaimanapun usahanya gagal memandangkan tasik agak dalam mencecah lima meter lalu meminta bantuan.

“Pihak bomba menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian kira-kira jam 6.35 petang.

Susulan maklumat itu, 14 anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa,” katanya.

Sufian berkata, operasi SAR turut melibatkan polis serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (Jpam).

“Anggota bomba tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian dan mengambil masa lebih dua jam mencari mangsa sebelum mayatnya ditemui,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, pihak pengurusan kolej hanya membenarkan kawasan tasik itu digunakan untuk aktiviti riadah.

“Difahamkan pelajar ditegah mandi di tasik itu bagaimanapun mereka dibenarkan menjalankan aktiviti air dengan pemantauan daripada individu yang bertanggungjawab saja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad ketika dihubungi berkata, punca kematian mangsa disahkan akibat lemas dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut memandangkan kejadian satu kemalangan yang tidak terduga.

“Saya difahamkan pihak kolej mengambil langkah keselamatan sewajarnya dengan meletakkan tanda amaran di kawasan tasik itu bagi menghalang pelajar mandi bagaimanapun dalam kes ini mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");