Membawang Hari Ini

Pencetus Ummah: Jelajah tujuh negeri

pencentus ummah 2

Menyedari betapa masyarakat Islam di Malaysia kini cukup fokus pada pencarian dan mendalami ilmu agama, Astro Oasis (saluran 106) kembali menerbitkan program berkonsepkan keagamaan lebih kreatif menerusi Dunia Pencetus Ummah.

Apatah lagi apabila mengambil kira sambutan hangat diberikan penonton pada program Pencetus Ummah (PU) musim pertama yang menobatkan PU Hafiz sebagai juara berjaya mencipta fenomena kerana mencatat ‘rating’ penonton tertinggi iaitu 5.5 juta yang menonton episod kemuncaknya.

Pengurus Saluran Astro Oasis Namanzee Harris berkata, Astro Oasis selaku pencetus pada program itu bukan saja gembira dan bangga, namun sangat bersyukur dengan sambutan baik yang diterima.

Katanya, dia tidak menyangka betapa program berunsur keagamaan kini semakin menarik perhatian penonton.

Katanya, tidak hanya fokus pada golongan penonton seisi keluarga, apa yang pasti program PU musim pertama lalu berjaya menarik perhatian kelompok sasaran yang pastinya belia dan remaja.

“Bersandarkan konsep berdakwah secara moden kini didapati membuahkan hasil yang baik apabila kelompok sasaran seperti golongan belia dan muda tertarik menontonnya.

“Jelas sekali betapa pada zaman serba moden ini, pengetahuan ilmu agama sangat
didahagakan.

“Sehubungan itu, menerusi Dunia Pencetus Ummah ia secara tidak langsung lebih mendekat­kan barisan peserta PU musim pertama kepada penonton serta peminat program ini.

“Kalau ketika disiarkan dulu, ada yang tidak berkesempatan datang ke Kolej
Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di Kajang untuk menyaksikan Mimbar Pencetus Ummah, kini ambil peluang menghadiri siri jelajah Dunia Pencetus Ummah yang diadakan.

“Sebanyak tujuh lokasi akan dikunjungi sepanjang siri jelajah ini sebagai memenuhi impian dan permintaan penonton yang sangat mengharap­kan barisan peserta PU berdakwah di tempat mereka,” katanya.

Menurut Namanzee lagi, lokasi siri jelajah Dunia Pencetus Ummah akan bermula pada Sabtu dan Ahad depan di dewan Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN), Seremban Negeri Sembilan diikuti pada 17 dan 18 Mei ini di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka serta 13 dan 14 Jun di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, Terengganu.

Kunjungan siri jelajah seterusnya di Dewan Utama Wisma Belia, Kuantan Pahang pada 5 dan 6 Julai, diikuti Dewan JKK Kota Baru Kelantan (18 dan 19 Julai), Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, Johor pada 8 dan 9 Ogos serta lokasi terakhir di Dewan Perbandaran Sungai Petani, Kedah (22 dan 23 Ogos).

Pengisian program dirancang pada siri jelajah itu pastinya selain tazkirah agama, orang ramai yang hadir turut dialu-alukan menyertai uji bakat pencarian peserta Pencetus Ummah 2.

Namanzee berkata, program PU terus diterbitkan Astro Oasis kerana sambutan luar biasa daripada penonton.

Uji bakat yang diadakan dari jam 9 pagi hingga 5 petang di setiap lokasi siri jelajah Dunia Pencetus Ummah diyakini akan menarik perhatian masyarakat. Orang ramai yang hadir akan diperdengarkan dengan tazkirah oleh PU Hafiz, PU Shahul, PU Yeop, PU Rahmat dan ramai lagi selain diselangi persembahan istimewa barisan artis terkenal seperti Shahir, Sabhi Saddi, dan kumpulan In-Team.

Namanzee berkata, peserta PU kembali kepada masyarakat untuk me­nyumbangkan kepakaran mereka dalam membangunkan Islam dengan pendekatan dakwah yang kreatif.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");