Membawang Hari Ini

Penghormatan buat MH370

penghormatan

BUAT julung kalinya, Istana Budaya dan Universiti Utara Malaysia (UUM) bergabung menerusi Konsert Stanza Cinta yang diadakan di Panggung Sari pada 4 hingga 5 April lalu.

Konsert sempena ulang tahun ke-30 UUM, berjaya menggabungkan lima nama besar seperti Amy Search, Jaclyn Victor, Adira, Noh Salleh dan Haziq dalam satu pentas.

Diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan, persembahan selama dua jam lebih itu nyata memberikan kepuasan kepada penonton yang hadir.

Bukan sekadar hiburan semata-mata, konsert ini juga tribute khas sempena penghormatan ke atas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang masih belum ditemui hingga ke hari ini.

Cinta & simpati…

Gabungan hebat artis popular

Hebat! Mungkin ia satu perkataan tepat untuk digambarkan persembahan lima artis terkenal tanah air iaitu Amy Search, Jaclyn Victor, Noh Salleh, Adira dan Haziq AF.

Konsert Stanza Cinta yang berlangsung sepanjang dua jam di Panggung Sari, Istana Budaya pada Khamis lalu menyaksikan persembahan yang cukup mantap daripada kelima artis tersebut.

Konsert itu merupakan anjuran kerjasama Istana Budaya dan Universiti Utara Malaysia (UUM) berlangsung selama dua hari iaitu pada 4 dan 5 April lalu.

Walaupun persembahan ini diadakan sempena ulang tahun penubuhan UUM yang ke-30, namun ia juga sebagai tanda sokongan dan simpati terhadap insiden pesawat MAS (MH370) yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac lalu.

Stanza Cinta dimulakan dengan alunan muzik penuh harmonis daripada Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) begitu mengagumkan.

Kemudian konsert diteruskan dengan nyanyian Adira (Ombak Rindu), Haziq (Seraut Wajah), Noh Salleh (In Love With You) dan Jaclyn Victor (Cinta Tiada Akhirnya).

Menerusi segmen Lagu Popular, kelima-lima artis popular itu diberi peluang untuk menyanyikan lagu-lagu solo mereka secara medley.

Bukan sahaja persembahan genre pop, rock dan balada dinyanyikan, bahkan persembahan kali ini turut menghidangkan sebuah lagu irama asli yang bertajuk Juwita Ku Sayang dendangan Haziq dan Sukena Md Ariff.

Turut memeriahkan konsert itu, bekas penuntut UUM iaitu Fazli Awang bersama penyanyi Istana Budaya, Jack Dzull menyumbangkan tiga buah lagu iaitu I Don’t Wanna Miss A Thing, Cinta Di Akhir Garisan dan Raikan Cinta bagi acara penutup.

Tidak dinafikan, persembahan turut diwarnai dengan warga UUM sebagai  penari latar dan juga kumpulan Koir Nada Utama.

Malah kehadiran Kelab Tarian Bidasari dan Artistana yang mengiringi setiap persembahan artis tidak kurang hebatnya.

Selain itu juga, sebanyak dua buah lagu dimainkan secara instrumental oleh kumpulan OSK iaitu My Herat Will Go On dan Mohabbatein berjaya mengalih mood penonton.

Amy Search luah harapan

Dilabelkan sebagai Raja Rock  Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search, 56, menyampaikan tiga buah lagu hits, berjudul Isabella, Gadis Ku dan Tiada Lagi.

Persembahan anak jati Kuala Lumpur itu nyata amat dinantikan penonton sejak dari awal kerana menerima sorakan paling gemuruh pada malam itu.

Ternyata auranya masih lagi diterima dalam industri muzik tanah air yang bukan sahaja terkenal di Malaysia malah di seluruh negara serantau.

Sedikit mengenai bapa kepada aktres terkenal iaitu Nabila Huda ini, Amy bermula sebagai pemain piano sebelum menyertai kumpulan Search yang menggantikan tempat penyanyi asalnya, Zainal.

Selepas beberapa tahun bersama kumpulan tersebut, dia menarik diri sebagai penyanyi utama dan meneruskan kerjaya nyanyian secara solo sehingga kini.

Menurut Amy, dia amat berbangga kerana diberi peluang untuk melakukan persembahan di pentas yang besar, Panggung Sari selama dua hari berturut-turut.

“Konsert ini sepatutnya dihadiri Yang Di-pertuan Agong Malaysia, namun baginda terpaksa membatalkan kunjungan tersebut di saat-saat akhir.

“Walaupun tujuan asal konsert ini diubah, saya juga tujukan lagu-lagu ini kepada penumpang dan anak kapal MH370 yang kini masih tidak ditemui.

“Kalau diikutkan perkara ini mengganggu pemikiran saya kerana mengenangkan nasib mangsa yang tidak diketahui sehingga hari ini,” jelasnya yang turut mengenali beberapa mangsa yang terlibat.

Sambungnya lagi, konsert tersebut juga merupakan luahan hatinya dan berikan persembahan yang terbaik kepada mereka yang hadir untuk konsert tersebut.

“Konsert Stanza Cinta ini khas buat mereka (MH370) dan ia menggambarkan hasrat kami agar mereka pulang semula ke pangkuan keluarga masing-masing,” katanya.

Dalam masa yang sama, Amy juga kini dalam persiapan untuk merakamkan album solo baharu yang dijangkakan lancar selepas hari raya puasa nanti.

Lagu Jaclyn untuk MH370

Menerusi konsert tersebut, Jaclyn Victor, 36, menyanyikan beberapa lagu, antaranya Bersama Kamu, I Will Always Love You, Jagalah Diri dan Cinta (duet bersama Adira) yang dituju khas buat pesawat malang (MH370) yang masih belum ditemui hingga kini.

Bagi Jaclyn, kesemua lagu-lagu dendangannya itu bagi mengingati kejadian yang mengejutkan dunia setelah kehilangan pesawat tersebut pada 8 Mac lalu.

Penyanyi bersuara lantang, Jaclyn turut meluahkan hasrat untuk mengadakan konsert solonya jika diberi peluang kelak setelah beraksi di pentas Istana Budaya.

Menurut Juara Malaysian Idol musim pertama ini, dia bagaimanapun ingin audiens yang lebih kecil berbanding Panggung Sari.

“Saya teringin untuk adakan konsert solo tetapi dengan syarat dalam ruang kecil seperti Lambang Sari.

“Bukannya tidak yakin dengan diri sendiri namun saya agak gugup jika berdepan dengan penonton yang ramai,” ujarnya sambil tertawa.

Idam konsert solo

Menjelaskan perkara itu, Jaclyn berkata, hasratnya itu mungkin terlaksana sekiranya ada tawaran untuk konsert sebegitu.

Tegasnya, dia menunggu peluang dan masa yang sesuai untuk bersedia melakukan persembahan secara solo.

“Teringin sangat tetapi saya belum lagi bersedia buat masa ini. Lagipun saya kini menumpukan perkara yang lebih penting berbanding kerjaya nyanyian,” ujarnya yang mengumumkan bakal berkahwin pada tahun ini.

Dalam masa sama, Jaclyn mengumumkan berita mengenai persiapan majlis bahagianya yang bakal dilangsungkan pada tahun ini namun merahsiakan tarikh perkahwinannya itu.

Jaclyn berkata, dia akan menjelaskan semua perkara menerusi sidang media pada 12 Ogos depan termasuk mendedahkan wajah bakal suaminya.

Katanya, dia menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan perkara tersebut setelah hampir dua tahun mengenali jejaka yang kini bertakhta di hatinya.

“Bukan senang untuk saya melakukan semua ini selepas pertunangan yang lalu terputus di tengah jalan.

“Tetapi untuk menguar-uarkan berita gembira ini merupakan tanggungjawab saya bergelar artis.

“Sebenarnya saya lebih suka sederhana dalam semua perkara dan ia merupakan salah satu sebab saya menyembunyikannya sebelum ini,” ujarnya.

Adira kurang latihan?

Bagaimanapun , berbeza pula dengan persembahan Adira Suhaimi pada malam itu kerana penyanyi berkulit putih itu sering kali melakukan kesilapan ketika menyanyikan lagu-lagu hitsnya seperti Ombak Rindu, Dewi Cinta, Lara Lagi dan Aku Ada Kamu.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Adira menegaskan bahawa kesilapan tersebut bukan disengajakan sebaliknya tidak cukup masa latihan.

Jelasnya, kesilapan itu disebabkan dia belum biasa dengan susunan muzik baharu pada lagu-lagu yang didendangkan.

“Susunan muzik baharu hanya diketahui petang Rabu dan saya akui belum serasi dengan orkestra yang mengiringi lagu-lagu saya. “Selain itu, saya juga gementar untuk berdiri di atas pentas berprestij Istana Budaya ini. Tetapi saya sudah cuba yang terbaik dan akan lakukan yang terbaik selepas ini,” ujarnya.

Putus cinta?

Ditanya mengenai hubungan cintanya yang didakwa sudah berakhir setelah dia bertindak membuang gambargambar kekasih hatinya itu di laman Instagram, Adira menegaskan hubungannya bersama Pengerusi  Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia, Shahrul Nasrun, itu masih baik.

“Sebenarnya, saya padam gambar dia bukan kerana putus cinta tetapi untuk mengelakkan daripada peminat yang memberikan komen negatif di Instagram saya. “Soal kahwin pula, kami memang ada perancangan, cuma masih belum tahu bila.

“Saya sendiri tiada target untuk itu, tetapi apa yang boleh saya katakan, InsyaALLAH saya akan tamatkan zaman bujang sebelum usia 30,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adira membuat persembahan  bersama bekas kekasihnya Hafiz, sempena Minggu Setiausaha yang akan diadakan di Dewan Matrade, Kuala Lumpur pada 22 April ini dan dia juga akan melancarkan album terbaharu pada 29 Mei depan.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");