Berita Hari Ini

Penumpang Turkish Airlines perlu hubungi KKM

S.Subramaniam

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta orang awam yang menaiki penerbangan Turkish Airlines (TK93 dan TK60) bagi perjalanan Jeddah-Istanbul-Kuala Lumpur pada 29 Mac 2014 untuk menghubungi pihak kementerian dengan segera.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, langkah ini supaya penumpang pesawat berkenaan perlu mendapatkan pemeriksaan dan pemantauan kesihatan bagi mengawal penularan jangkitan virus terbaru yang dikenali sebagai Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV).

Menurut Subramaniam, virus MERS-CoV ialah sejenis virus berasal dari Arab Saudi yang menjangkiti manusia melalui sistem pernafasan dan ianya boleh berjangkit kepada individu yang lain lebih-lebih lagi kenalan rapat dan keluarga.

Setakat ini, satu kematian telah dicatatkan dan pihak kementerian sedang menjalankan aktiviti pencegahan, kawalan dan membuat pemantauan rapat ke atas kenalan dan keluarga mangsa.

“Mangsa ialah seorang lelaki berumur 54 tahun yang baru pulang dari mengerjakan umrah dan tiba di Malaysia pada 29 Mac lalu.

“Dalam rekod, pada 8 April, mangsa mula mengalami gejala batuk, demam dan kesukaran bernafas, mangsa dimasukkkan ke hospital untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal pada 13 April akibat virus MERS-CoV,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, pihak WHO masih tidak dapat memastikan punca dan cara jangkitan bagi virus tersebut.

Menurutnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) gagal mengenal pasti tahap penularan virus tersebut dan tiada vaksin dapat dihasilkan setakat ini bagi mencegah atau melawan penyakit tersebut.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang awam yang ingin mengerjakan umrah di Tanah Suci atau mengadakan lawatan ke mana-mana negara di rantau Timur Tengah perlu mengambil langkah kebersihan dan keselamatan diri.

“Elakkan makan makanan, sayur atau buah-buahan yang mentah atau belum dibasuh, selalu cuci tangan anda, bawa penutup atau mask hidung dan mulut serta hand sanitizer jika perlu, elakkan daripada melawat ladang haiwan, dan elakkan daripada menyentuh atau mendekati orang sakit,” katanya lagi.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");