Isu Panas

PKR persoal campur tangan Najib dalam pemberian geran R&D RM100 juta

rafizi ramli

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mempersoalkan peranan Datuk Seri Najib Razak dalam meluluskan pemberian geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) bernilai RM100 juta kepada sebuah syarikat untuk tujuan projek komersial.

Melalui surat rasmi yang ditandatangani Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Dr Ewon Ebin bertarikh 21 Januari lalu, kerajaan meluluskan permohonan geran syarikat NSE Resources Corporation (M) Sdn Bhd untuk pembangunan “gasifier steam boiler plant”.

“Ini adalah salah satu geran yang terbesar pernah diberikan di bawah skim geran R&D Mosti hasil campur tangan perdana menteri sendiri yang membayangkan ia tidak mengikuti prosedur,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Surat kelulusan itu merujuk kepada surat daripada Pejabat Perdana Menteri yang bertarikh 21 November, 2013 selepas syarikat terbabit menulis surat permohonan kepada Najib selaku perdana menteri pada 15 November, 2013.

Rafizi mendakwa, pemberian geran itu bertentangan dengan prosedur dan tatacara biasa pemberian geran R&D di bawah Mosti kerana kebiasaannya hanya jumlah kecil diberikan bagi sesuatu projek.

Beliau berkata, geran maksimum yang dilaporkan bagi satu projek adalah sebanyak RM2 juta di bawah Dana Perolehan Teknologi (TAF), seperti dalam laporan tahunan Mosti.

Katanya, geran R&D diberikan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan teknologi, bukannya untuk projek komersial yang melibatkan ratusan juta dana awam.

Rafizi berkata, kebiasaannya kumpulan pengkaji perlu melalui beberapa saringan penilaian yang amat ketat sebelum dikurniakan geran R&D yang hanya bernilai antara RM500,000 hingga RM600,000 sahaja.

Katanya, jika sesebuah syarikat ingin membuat projek R&D bagi tujuan komersial, pembiayaan dana perlu datang daripada modal sendiri atau pinjaman bank.

“Projek bertaraf nasional pun tidak diberi geran.

“Paling hebat dalam bentuk skim jaminan kerajaan atau pinjaman mudah dengan kadar bunga rendah. Ini kali pertama projek komersial dalam bentuk geran bawah R&D,” katanya.

Rafizi berkata, NSE Resources (M) Sdn Bhd mungkin tidak perlu membayar balik sesen pun kepada kerajaan memandangkan pemberian RM100 juta diberikan dalam bentuk geran.

Beliau turut mempersoalkan sama ada peluang sama turut diberikan Mosti kepada syarikat lain yang mengusahakan projek komersial dalam industri teknologi.

“Kita sudah menyaksikan bagaimana pinjaman mudah kepada Koperasi Fidlot Nasional (NFC) pun tidak dibayar balik kepada kerajaan apatah lagi jumlah RM100 juta yang diberikan sebagai geran,” katanya.

Ditanya sama ada wujud unsur penyelewengan atau salah guna kuasa, Rafizi enggan memberikan sebarang kenyataan namun berjanji akan mendedahkannya dalam sidang akhbar akan datang pada Rabu ini.

Beliau mendakwa, mempunyai dokumen lengkap geran termasuk latar belakang syarikat berkenaan yang diperolehi daripada seorang ‘whistleblower’.

“Ini hanyalah satu projek yang menunjukkan bagaimana Najib campur tangan dengan memberi arahan kepada Mosti agar geran RM100 juta diberikan kepada sebuah projek komersial.

“Kita tidak tahu berapa banyak lagi campur tangan dan arahan seperti ini yang dibuat beliau selama ini kerana peruntukannya sangat besar.

“Saya menunggu penerangan dan penafian daripada Najib dan Ewon mengenai pemberian dana RM100 juta ini kerana saya ada dokumen lain yang lebih lengkap,” katanya. – 21 April, 2014.

-Malaysianinsider

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");