Jenayah

‘Pulau Pinang bukan lubuk seks’

datuk rahim

GEORGETOWN – Polis Pulau Pinang menafikan laporan kajian dibuat NGO yang mengatakan terdapat kira-kira 200 kawasan panas yang menawarkan perkhidmatan seks di negeri ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, laporan kajian itu agak meragukan berikutan ia dilakukan dalam tempoh hanya dua minggu pada 2011 dan berpandukan kepada tinjauan terhadap pemandu teksi.

“Mana mungkin kajian itu dibuat dengan telus berikutan ia hanya berdasarkan tinjauan dalam kalangan pemandu teksi. Jika benar mahukan statistik, datang berjumpa polis, kita ada semua statistik dan data lengkap,” katanya kepada media, semalam.

Abdul Rahim berkata, lokasi yang dinyatakan NGO dalam laporan kajian itu juga bukan premis haram, sebaliknya mempunyai lesen yang dikeluarkan kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

“Polis sentiasa memantau dan menjalankan operasi di pusat-pusat hiburan serta hotel, malah operasi bersepadu juga sering dijalankan. Operasi bersepadu dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), kastam.

“Operasi itu dijalankan bagi mencegah aktiviti yang menawarkan perkhidmatan seks serta jenayah di lokasi yang disasarkan. Selain itu, polis juga menjalankan sekurang-kurangnya lima serbuan sehari sejak tahun lalu di premis yang disyaki menawarkan perkhidmatan itu,” katanya.

Menurutnya, polis akan memanggil NGO berkenaan untuk diambil keterangan selain menyiasat latar belakang mereka.

“Laporan kajian itu tidak adil, ini kerana ia hanya dibuat secara rambang, tiada statistik tepat. Ia juga memberi imej yang buruk kepada polis, seolah-olah kita tidak buat kerja.

“Ingin saya ingatkan, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana jenayah, malah kita amat tegas dalam mengambil tindakan sekiranya ada bukti jelas,” katanya.

Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan sebuah NGO, Jaringan Utara Migran dan Pelarian (Jump) dalam laporan kajiannya menyatakan kira-kira 200 kawasan panas di negeri ini menawarkan perkhidmatan seks.

Menurut penyelidik Jump, Todd Morrison, sesetengah kawasan itu antaranya pusat urut, kedai gunting rambut serta hotel turut dilengkapi sistem kedudukan global (GPS) bagi memudahkan ia dijumpai.

Morrison berkata, laporan kajian tersebut berdasarkan temubual 172 pemandu teksi di negeri ini yang mendakwa pernah membawa penumpang ke kawasan panas berkenaan sekurang-kurangnya sekali.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");