Membawang Hari Ini

Sasaran RM25 juta melalui MIPTV

MIPTV

Sekali lagi program pasaran produk filem antarabangsa, MIPTV berlangsung di Perancis sejak 7 April lalu bagi memberi ruang kepada penerbit tempatan dan luar negara memasarkan produk masing-masing.

Ia nyata membawa banyak kelebihan malah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Md Afendi Hamdan, berkata pihaknya mengharapkan pulangan sebanyak RM25 juta daripada MIPTV kali ini.

“Sekalipun hanya 18 syarikat produksi Malaysia berpeluang menyertai acara kali ini, kita tetap menyasarkan pulangan yang memuaskan iaitu sekitar RM25 juta,” katanya kepada Rap semalam.

Antara syarikat tempatan yang menyertai delegasi Malaysia kali ini adalah Astro Productions Sdn Bhd, Bright Network Sdn Bhd, Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Global Station Sdn Bhd dan Nafalia Corporation Sdn Bhd.

Menurutnya, melalui kunjungan ke beberapa ‘booth’ negara lain pada hari pertama bermulanya MIPTV di Palais des Festival, Cannes, perhatian delegasi lain terhadap Malaysia amat positif kerana rata-rata ingin mengetahui lebih terperinci mengenai penerbitan produk televisyen di tanah air.

“Pihak stesen France 24 umpamanya bertanyakan kepada saya dengan siapakah mereka mahu berurusan segi perkongsian berita di TV, lalu saya jelaskan peranan dan komitmen agensi berita Bernama TV.

“France 24 stesen indie yang menerbitkan pelbagai program ‘talk show’, selain penyiaran berita berterusan persis CNN, bahkan mereka turut menyelar laporan negatif CNN terhadap tragedi MH370,” katanya.

Untuk MIPTV kali ini, hanya 18 syarikat produksi tempatan menyertai pavilion Malaysia berbanding sasaran awal FINAS mahukan 25 syarikat turut serta.

“Tahun lalu 20 syarikat produksi kita menyertai MIPTV, tetapi kali ini ada yang menarik diri pada saat akhir. Komitmen pihak produksi kita perlu untuk program seperti ini kerana untuk menyewa tapak di MIPTV bukan murah.

“Empat hari program ini berlangsung kos sewa tapaknya 90,000 Euro (RM420,00), sementara untuk satu pas peserta kosnya 1,500 Euro (RM7,000).

“Sekiranya pihak produksi mahu bergerak sendiri tiada masalah cuma jika nasib tidak baik penganjur letak ‘booth’ mereka itu di merata ceruk.

“Kita agak beruntung kerana pavilion Malaysia sepanjang MIPTV ini diletakkan di lokasi paling strategik iaitu tidak jauh dari pintu masuk,” katanya.

Selain ke pavilion Perancis, Afendi berkata, hari pertama MIDTV pihaknya turut mengunjungi pavilion Kanada, Australia dan Singapura, seterusnya menghadiri majlis koktel dan perasmian di Grand Hyatt Hotel di Cannes.

Untuk hari kedua, pihaknya ditemubual World Screen di pavilion Malaysia, perbincangan bersama Freeman–tle, menghadiri persidangan mengenai jaringan kerjasama global dan permasaran global seterusnya menjadi saksi majlis
menandatangani persefahaman (MoU) antara pihak Astro dan Global Station dengan Azteca dari Mexico mengenai pembelian format siri Siempre Tuya Acapulco (A Love To Remember).

Untuk hari ketiga, kata Afendi sesi lawatan ke pavilion Mexico sebagai Country Of Honor untuk MIPCOM 2014 nanti, sekali gus membincangkan kerjasama strategik kedua-dua negara.

Perbincangan dengan Disney turut diadakan selain temubual bersama Televisyen Asia Plus dan pihak Total Licensing.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");