Sukan Hari Ini

Semua gelanggang Sukma ke-17 selamat digunakan

perlis sukma

MENTERI Besar Perlis, Azlan Man memberi jaminan semua bangunan dan kemudahan untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 dibina mengikut spesifikasi ditetapkan dan selamat untuk penganjuran temasya dwi tahunan itu.

Azlan berkata kerajaan negeri tidak berkompromi dalam soal keselamatan membabitkan atlet dan orang ramai dalam usaha menyiapkan semua kemudahan itu mengikut jadual.

“Saya ingin memberitahu bahawa tiada perubahan skop kerja dan spesifikasi dibuat semata-mata supaya semua kemudahan yang disediakan siap sebelum Sukma bermula pada 24 Mei ini.

“Insya-ALLAH kemudahan ini dijamin selamat digunakan,” kata Azlan kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan gelanggang tinju, astaka tenis serta asrama dan pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu agensi pelaksana projek kepada MSN di sini, petang semalam.

Pengarah JKR Perlis, Azizan Abdul Rahman menyerahkan replika kunci untuk ketiga-tiga kemudahan itu yang bernilai hampir RM12 juta kepada pengarah MSN Perlis, Muhd Azahari Ramli selepas kedua-duanya menandatangani surat serah terima aset itu.

Menurut Azlan, kolam renang dan sembilan lagi kemudahan antaranya dewan badminton, skuasy, Stadium Utama dan Kelab Golf dalam peringkat sentuhan akhir dan kontraktor dijangka menyerahkannya kepada MSN sebelum akhir bulan ini.

“Semua infrastruktur itu masih dalam tempoh tanggungan kontraktor. Sebarang kerosakan yang mungkin berlaku menjadi tanggungjawab kontraktor,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan binaan adalah daripada struktur sedia ada serta kukuh dan hanya perlu dinaik taraf menjadikannya selamat digunakan.

Mengenai penginapan, beliau berkata Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknoloji Mara (UiTM) di Arau menjadi tempat penginapan utama kepada lebih 6,500 atlet dan pegawai.

Ketika berucap sebelum itu Azlan berkata beliau berpuas hati dengan mutu pembinaan projek untuk Sukma kerana dipantau sepanjang masa dengan teliti oleh JKR.

Sukma ke-17 di Perlis bermula 24 Mei hingga 4 Jun ini melibatkan 24 jenis sukan yang dipertandingkan. Majlis pembukaan rasmi akan diadakan pada 26 Mei manakala majlis penutupan pada 4 Jun. –

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");