Membawang Hari Ini

Sofia Jane Mahu Jadi Normadiah!

xMenjelang Anugerah Seni BOH Cameronian ke-11 yang akan berlangsung pada malam 27 April ini, calon kategori Pelakon Teater Terbaik, Sofia Jane sudah mula memikirkan busana sesuai yang mahu disarungkannya pada malam tersebut.

Bertemu GUA pada majlis penganugerahan kategori teknikal Anugerah Seni BOH Cameronian baru-baru ini, jelitawan itu sempat berkongsi betapa dia teruja untuk menjelma menjadi seniwati unggul, Normadiah pada majlis yang bertemakan ‘Pop Yeh Yeh’ itu nanti.

“Temanya adalah gaya pada tahun 60-an, jadi pastinya menarik kalau saya berpakaian seperti salah satu watak yang pernah dilakonkan oleh pelakon wanita klasik tersohor itu, sama ada dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, ataupun Lela Manja”, ujarnya.

Melahirkan rasa terharu untuk pencalonan tersebut, Sofia berpendapat apa yang paling penting dalam setiap pencalonan yang diterimanya sebagai seorang aktres dalam apa jua majlis anugerah, adalah penghargaan daripada komuniti dalam industri.

“Mereka ini adalah orang-orang yang bertungkus-lumus menghidupkan industri seni teater negara, jadi apabila saya diundi oleh mereka untuk dimasukkan dalam senarai akhir pencalonan, itu adalah satu penghargaan yang besar ertinya dan membuatkan saya rasa cukup terharu”, jelas aktres filem ‘Puteri Gunung Ledang’ itu.

Tambahnya lagi, peluang melakonkan watak dalam karya yang diolah sendiri oleh pengarah satu-satu pementasan itu sendiri memberikannya ruang sempurna untuk lebih memahami naskah yang perlu dipersembahkan.

“Nam Ron sebagai penulis merangkap pengarah memberikan akses kepada barisan pelakon untuk mengenali karya ini secara lebih ‘intim’; contohnya tentang ilham di sebalik karya dan kepentingan perkataan-perkataan tertentu di dalam skrip”, jelasnya.

Jelas Sofea lagi, sebagai pelakon, dia adalah medium untuk pengarah merangkumkam gambaran cerita yang ingin disampaikan kepada penonton.

Sofea tercalon melalui lakonan penuh karismanya dalam Teater Kompilasi Nam Ron yang dipentaskan di Damansara Performing Art Centre sekitar November 2013. Pada pertemuan itu, Sofea juga berkongsi rasa gembira apabila teater hebat karya dan arahan Nam Ron itu bakal dipentaskan sekali lagi, kali ini di Kota Singa.

“Kali ini, pementasan ini akan dipersembahkan dengan nama ‘Laut Lebih Indah Dari Bulan’; satu tajuk yang mengandungi nama tiga watak utama dalam ceritanya iaitu Laut, Indah & Bulan. Ia sebenarnya merupakan tajuk karya asal naskah tersebut yang pernah diterbitkan dalam bentuk buku”, jelasnya yang mendukung watak ‘Bulan’, seorang wanita hamil yang berhadapan krisis rumah tangga berpunca dari ketidakpercayaannya kepada si suami yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Tambahnya, dia kini sedang menjalani sesi latihan intensif yang akan berlangsung selama sebulan sebelum tarikh pementasan. ‘Laut Lebih Indah Dari Bulan’ bakal dipentaskan untuk tiga pementasan pada 16 dan 17 Mei 2014 di lokasi berprestij, Esplanade Theater Studio.

Dalam perkembangan lain, pelakon yang begitu selektif dalam memilih projek-projek lakonan ini juga bakal membintangi filem arahan Syed Hussein, ‘Penculikan Ammar Effendi’ terbitan Camwerk Studios dan KRU Studios. Enggan mendedahkan watak yang akan dipikulnya, Sofia berkata dia bakal mengumumkannya sesudah segala perbincangan dengan pihak produksi berakhir dalam masa terdekat.

– Gua.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");