Sukan Hari Ini

Sokong tindakan Kafa singkir Darby

sokong

PERSATUAN Bola Sepak Jajahan Pasir Mas menyokong penuh tindakan drastik Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menyingkirkan pengendali pasukan The Red Warriors (TRW), Steve Darby.

Ia berikutan prestasi hambar yang dipamerkan TRW sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga- M) dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini, lebih-lebih lagi diaibkan dengan kekalahan memalukan kepada pasukan berstatus kelab, Sime Darby FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam kelmarin.

Presidennya, Tengku Iskandar Tengku Ahmad berkata, tindakan itu tepat pada masanya bagi memulihkan semula reputasi TRW sebagai pasukan yang sering digeruni pihak lawan sebelum ini.

“Umum mengetahui, pasukan Kelantan mampu memberi cabaran kepada pasukan yang bersaing dalam liga kerana barisan pemain dimiliki oleh TRW mempunyai pengalaman luas,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian yang dibuat, percaturan jurulatih yang gagal menggunakan sepenuhnya kelebihan pemain menjadi punca kemerosotan prestasi pasukan.

“Situasi ini dapat dilihat apabila sistem penggiliran yang dilakukan oleh Darby gagal membawa hasil kepada TRW apabila mereka beraksi di luar keupayaan sebenar dalam saingan AFC.

“Jadual perlawanan yang padat dan isu kekurangan pemain tidak perlu dijadikan alasan,” katanya.

Tengku Iskandar berkata, Kafa telah menyediakan barisan pemain muda yang berpengalaman dan berpotensi sekiranya diberikan ruang serta peluang secukupnya.

“Namun saya lihat Darby tidak menggunakan kelebihan tersebut apabila dilihat kerap kali mempertaruhkan barisan pemain sama tanpa memberikan ruang kepada pemain lain.

“Saya percaya jika mereka ini diberikan peluang, pemain muda ini mampu bersaing dengan pemain senior,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Iskandar yakin Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa mempunyai perancangan yang hebat dalam usaha mengembalikan reputasi TRW.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");