Jenayah

Status penumpang, kru diumum masa terdekat

ahli keluarga mangsa

Kuala Lumpur: Pengumuman status penumpang dan anak kapal MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu akan ditentukan dalam masa terdekat sejurus memperoleh pengesahan daripada pakar berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Waris Penumpang MH370, Datuk Hamzah Zainuddin, berkata ketetapan akan diputuskan selepas memperhalusi pelbagai aspek.

Beliau juga berkata, kehidupan waris yang tinggal perlu diteruskan walaupun pada hakikatnya sukar menerima kehilangan orang tersayang secara tragik.

“Saya sangat faham rasa tertekan dan sedih yang ditanggung waris penumpang dan anak kapal. Secara peribadi saya berjanji, jawatankuasa akan melakukan apa saja yang perlu dalam membantu mereka meneruskan kehidupan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Pelbagai pendekatan

Hamzah yang juga Timbalan Menteri Luar berkata, pelbagai pendekatan diambil bagi memastikan Jawatankuasa Waris Penumpang sentiasa membantu menyalurkan perkembangan terkini kepada semua keluarga terbabit termasuk kerjasama rapat dengan agensi berkaitan.

Langkah itu termasuk melantik Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai wakil khas Malaysia untuk sebarang sesi perbincangan bersama Kerajaan China.
“Perbincangan rapi bersama kerajaan China adalah antara usaha kita bagi memastikan hubungan bilateral dua negara tidak terjejas akibat tragedi berkenaan,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan keluarga dari China yang masih enggan menerima penjelasan kerajaan berhubung insiden itu, Hamzah berkata ia sudah dijangka berikutan keadaan kejadian yang sukar dicerna secara logik.

“Sudah 44 hari kita cuba mencari kepastian lokasi pesawat yang hilang itu dan ia menjadi pertanyaan semua orang sama ada waris penumpang dan anak kapal, kerajaan atau penduduk dunia.

Maklumat disahkan pakar

“Sebab itu kalau mereka tidak percaya apa yang kita maklumkan, kita semua kena faham sebab memang susah. Maklumat yang kita beri ialah yang kita terima selepas disahkan oleh pakar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, urusan pemergian dan bilangan waris ke lokasi kejadian dihadkan kepada jumlah tertentu untuk memastikan proses berjalan lancar.

“Kita sudah terima semua maklumat berkaitan waris penumpang tapi ada sedikit masalah untuk mendapatkan wakil mereka. Kita tak mahu terlalu ramai, memadai satu atau dua orang saja tapi seperti biasa bila ada kejadian seperti ini, yang tak patut juga ada di sana,” katanya.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");