Jenayah

‘Syak ada kaitan orang dalam’

culik lagi

Lahad Datu: Operasi besar-besaran bagi mengesan pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah di pulau peranginan di Zon Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSZONE) akan dilakukan bagi memburu individu yang berpotensi menjadi tali barut.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mohammad Mentek, berkata operasi itu akan dilakukan di pulau peranginan yang sudah dikenal pasti dalam masa terdekat ini.

“Tindakan ini diambil susulan kes penculikan di Singamata Reef Resort, pada Rabu lalu. Berdasarkan maklum balas dan risikan ESSCOM serta modus operandi penculik, kumpulan itu kelihatan mengetahui keadaan resort termasuk penghuninya.

“ESSCOM mengesyaki ada pembabitan orang dalam khususnya orang tempatan berasal dari Filipina, yang memberi maklumat awal kepada penculik berkenaan.

“Saya turut mengulangi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap majikan atau pengusaha resort di kawasan ESSZONE yang mengambil pekerja asing tanpa dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kabinet sudah mengarahkan tahap siap siagaan anggota keselamatan, risikan termasuk keselamatan awam di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dipertingkatkan.

Pandang serius

Beliau berkata, jemaah menteri yang bermesyuarat kelmarin, memandang serius kes penculikan dua wanita rakyat asing di sebuah pusat peranginan di perairan Semporna, Sabah, malam Rabu lalu.

“Kita pandang berat isu penculikan ini yang berulang semula walaupun selepas ESSCOM ditubuhkan di kawasan berkenaan,” katanya selepas melancarkan program PISH di Kolej Komuniti Ledang, di sini semalam.

Katanya, Kabinet sudah mengarahkan pengurusan ESSCOM memberi taklimat kepada jemaah menteri mengenai kes penculikan itu dalam mesyuarat seterusnya.

Sementara itu, di Kota Kinabalu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap pengusaha resort yang gagal memastikan setiap pekerjanya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, pengusaha resort juga perlu memeriksa dan memastikan setiap pekerjanya berdaftar dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Arahan untuk memeriksa setiap resort sudah dikeluarkan pada Jumaat (kelmarin) menerusi Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Sabah, selepas menerima laporan ada pengusaha resort yang masih mempunyai pekerja tanpa dokumen sah.

“Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana dalam mesyuarat bersama semua pengusaha resort di pulau pada awal tahun lalu, setiap pengusaha perlu tahu latar belakang pekerja terutama pekerja asing,” katanya.

– Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");