Jenayah

Taktik nelayan Vietnam tak menjadi

nelayan vietnam

KEMAMAN – Taktik dua kumpulan nelayan warga Vietnam yang menangkap ikan menggunakan pukat ganding berselindungkan dua bot kargo tempatan, gagal selepas perbuatan mereka dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), tengah hari kelmarin.

Kedua-dua bot kargo itu, masing-masing ditahan bot laju Maritim yang membuat operasi rondaan di sekitar Pulau Tioman ke Kuala Kuantan pada jam 12.15 tengah hari dan kira-kira 29 batu nautika timur laut Pulau Tioman pada jam 12.50 tengah hari.

Dengan tangkapan itu, Maritim menahan reman 40 awak-awak dan dua tekong berusia dalam lingkungan 25 hingga 45 tahun dengan nilai rampasan berjumlah RM2 juta membabitkan bot, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan iaitu sebanyak 500 kilogram ikan dan satu tan metrik sotong kering.

Pengarah Operasi Daerah Maritim 8 Kuantan, Komander Maritim Rahim Ramli berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot itu memiliki lesen kargo tempatan, tetapi menggunakan kru asing tanpa permit yang sah.

“Kita syak kedua-dua bot ini menceroboh perairan negara sejak seminggu lalu dan menangkap ikan secara pukat ganding yang diharamkan di negara ini.

“Berdasarkan soal siasat kita jalankan, kedua-dua bot ini sangat licik kerana mereka juga dipercayai memindahkan hasil tangkapan ke dalam bot utama yang berada di sempadan perairan Malaysia-Vietnam. Sebab itu, hasil tangkapan dirampas tidak banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di jeti Pangkalan Maritim Kemaman, semalam.

Bot terbabit kemudiannya ditunda dan sampai di jeti Pangkalan Maritim Kemaman di Teluk Kalong pada jam 4 pagi.

Kibar bendera Malaysia
Sehubungan itu, Rahim berkata, Maritim juga mungkin akan mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa Vietnam untuk mengekang aktiviti penyeludupan hasil tangkapan dari perairan negara.

Kata beliau, bagi mengaburi mata pihak berkuasa, kedua-dua bot itu turut mengibarkan bendera Malaysia di bot masing-masing.

“Dalam undang-undang, bot kargo hanya boleh digunakan untuk mengangkut barang dan tidak boleh digunakan untuk menangkap ikan. Jadi, kedua-dua kumpulan ini sudah menyalahgunakan lesen bot kargo, selain menceroboh perairan negara,” katanya.
Justeru, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Perkapalan Perdagangan 1967.

Tarikan musim sotong

Menurut Rahim lagi, musim sotong sekarang dipercayai menjadi tarikan kepada kumpulan nelayan itu untuk menceroboh perairan negara, yang mana sotong ditangkap turut dikeringkan kerana sotong kering mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

Setiap sotong kering bersaiz besar atau gred A boleh dijual pada harga RM50 sekilogram untuk pasaran tempatan.

Tangkapan keenam

Sementara itu, Rahim berkata, tangkapan dua bot kargo itu merupakan penangkapan nelayan asing keenam dilakukan Daerah Maritim 8 Kuantan bagi tempoh Januari sehingga awal April ini.

“Dari Januari sehingga 3 April, kita lakukan sebanyak 315 pemeriksaan ke atas bot nelayan dan daripada jumlah itu, sebanyak 35 pemeriksaan dibuat pada Januari, Februari (143), Mac (135) dan dua pada bulan ini, yang membawa kepada penangkapan dua bot kargo ini,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");