Membawang Hari Ini

The Journey pikat menteri

the journey

Kejayaan filem Cina tempatan, The Journey yang mencapai kutipan sehingga RM17 juta selepas 50 hari ditayangkan di seluruh pawagam tanah air benar-benar membuka mata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Selepas mendengar kejayaan filem berkenaan, beliau terpanggil untuk menyaksikannya di Pavilion pawagam tempatan, malam kelmarin.

Filem yang dihasilkan Astro Shaw Sdn Bhd dan Woohoo Pictures Sdn Bhd itu turut menggunakan beberapa negeri di Malaysia sebagai lokasi antaranya Kedah, Pulau Pinang, Cameron Highlands (Pahang), Perak dan Johor.

Filem Arahan Chiu Keng Guan ini dilakonkan Frankie Lee Sai Peng, Joanne Yew Hong Im dan pelakon dari Australia, Ben Andrew Pfeiffer.

Turut hadir beberapa wakil iaitu Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati Shamsuddin dan ahli Puteri UMNO bahagian Bukit Bintang, Ahmad Shabery mengakui ini filem keempat yang ditontonnya.

“Selalu apabila disebut filem tempatan orang akan fikir ia filem Melayu. Jarang kita tahu ada juga filem tempatan daripada kaum Cina di Malaysia.

“Seperti filem The Journey, ia adalah yang banyak mengetengahkan unsur Malaysia tanpa membabitkan mana-mana sensitiviti pihak lain.

“Dengan kejayaan melalui kutipan yang diperoleh filem ini saya berharap ia akan berterusan dipromosikan kerana filem ini juga menonjolkan budaya masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Astro, Najwa Abu Bakar berkata, melalui kejayaan yang diterima filem ini, mereka turut berusaha menayangkannya di beberapa negara luar.

“Sudah beberapa minggu kami menghantar filem ini ke Singapura, Taiwan dan Beijing. Belum tahu lagi bagaimana maklum balasnya, namun kami berharap masyarakat di negara berkenaan tertarik dengan jalan cerita yang di sampaikan.

Selain itu, kami juga berbangga apabila The Journey berjaya dipilih untuk menyertai pembentangan atau ‘screening’ di Festival Filem Antarabangsa Beijing pada 16 hingga 24 April ini.

“The Journey juga turut terpilih menyertai pertandingan dalam Festival Filem Udine Far East yang akan berlangsung pada 25 April hingga 3 Mei ini,” katanya.

The Journey me­ngisahkan seorang lelaki berusia, Chuan yang berpegang teguh pada adat berasa kecewa apabila anak tunggalnya, Bee ingin berkahwin dengan jejaka Ing­geris, Benji, selepas sedekad menuntut di United Kingdom.

Begitupun, kerana kasih seorang ayah, Chuan bersetuju tetapi dengan syarat. Mereka harus berkompromi dengan keinginannya untuk mengadakan majlis mengikut tradisi.

Malah cara mengundang tetamu juga lebih konvensional dan konservatif iaitu mereka sendiri harus menyerahkan kad jemputan tidak kira di mana lokasinya.

Lalu bermulalah perjalanan Chuan dan bakal menantunya merantau ke merata tempat.

Tanpa mereka sedar, penjelajahan itu bukan sekadar misi jemputan ke kenduri kahwin, sebaliknya turut merapatkan hubu­ngan mesra antara mereka.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");