Jenayah

Tragedi hujung minggu

tragedi

DUNGUN – Kegembiraan sekumpulan pelajar mandi laut sempena cuti hujung minggu berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas selepas dihanyutkan ombak.

Kejadian kira-kira jam 5 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Mohd Yusrizal Mohd Yuslizan, 16, bersama sembilan lagi rakan sekolahnya mandi laut di pantai Kuala Abang.

Mohd Yusrizal, pelajar tingkatan empat SMK Pulau Serai yang seronok mandi laut dikatakan cuba berenang ke tengah meninggalkan rakannya sebelum dia tiba-tiba menjerit minta tolong selepas dihanyutkan arus deras.

Seorang rakannya, Mohd Faizal Afandi, 16, cuba menyelamatkannya namun gagal kerana arus deras sebelum mangsa terus hilang.

Seorang lagi rakan mangsa, Nordin Mohd, 22, cuba mendapatkan bantuan penduduk namun mangsa gagal ditemui sebelum pihak berkuasa dihubungi untuk memaklumkan kejadian.

Usaha mencari mangsa yang dikhuatiri hilang itu dilakukan serta merta dengan bantuan penduduk kampung serta anggota bomba.

Usaha pencarian berhasil apabila mangsa berjaya ditemui jam 6.30 petang, tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Menurut nenek mangsa, Mek Teh Kari, 65, kali terakhir dia bertemu arwah pada jam 3 petang sebelum kejadian.

Ketika itu arwah dikatakan baru pulang dari solat Jumaat dan dia tidur tanpa menyedari bila cucunya itu tiada rumah.

Mek Teh berkata, dia tidak tahu arwah ke pantai untuk mandi laut sehinggalah dimaklumkan jirannya bahawa cucunya itu mati lemas.

“Makcik tak tahu dia ke pantai, tiba-tiba ada orang beritahu bahawa dia lemas.

“Baru semalam (kelmarin) makcik nasihatkan dia jaga diri baik-baik, tak sangka hari ini dia dah tiada,” katanya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob mengesahkan kejadian.

Ini tragedi kedua dalam tempoh seminggu babitkan pelajar mati lemas ketika mandi di pantai.

Sinar Harian Selasa lalu menyiarkan dua rakan merupakan pelajar SMK Seri Paka, mati lemas ketika mandi di pantai Kampung Cacar, dekat sini.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");