Jenayah

Ugut bermalam dalam lokap

ugut

JOHOR BAHRU – Akibat terlalu ketakutan akan bermalam di lokap, seorang lelaki terpaksa menanggung kerugian RM5,000 apabila terpedaya dengan sindiket penipuan pindahan wang ke akaun lain.

Mangsa, Chee Yun Wah, 53, mendakwa menerima panggilan dari seorang lelaki yang mengatakan dirinya seorang polis berpangkat Inspektor dari Bukit Aman mengenai akaun simpanan miliknya telah digunakan sindiket antarabangsa.

“Menerusi panggilan telefon itu, lelaki itu memberitahu akaun bank miliknya akan dibekukan kerana butiran peribadinya termasuk akaun banknya turut digunakan oleh seorang penjenayah dari Hong Kong.

“Lelaki terbabit kemudian mengarahkan saya supaya membuat pindahan wang ke akaun bank yang diberikannya sekiranya saya tidak mahu wang dalam akaun bank sedia ada itu dibekukan.

“Lelaki turut mengugut untuk saya bekerjasama atau terpaksa bermalam di lokap kerana tidak mengikut arahan diberikan,” katanya pada sidang media di sini, semalam yang turut dihadiri Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Negeri, Kua Song Tuck.

Pesara dalam bidang IT di Singapura ini mendakwa dirinya tidak mengesyaki ia satu penipuan, sebaliknya hanya memikirkan keselamatan dirinya tanpa berlengah pergi ke bank kira-kira jam 11.30 pagi untuk membuat pemindahan transaksi wang terbabit ke dalam akaun bank yang diberikan lelaki terbabit.

“Ketika sedang membuat urus niaga berkenaan, lelaki terbabit kemudian menghubungi saya semula dan mengarahkan saya segera membuat pindahan ke akaun yang diberikan.

“Bagaimanapun, sebaik selesai membuat pindahan wang itu, seorang kakitangan bank yang mendengar perbualan saya dengan lelaki terbabit datang kepada saya dan mengesyaki saya sudah ditipu dan menasihatkan saya supaya segera membuat laporan polis,” katanya.

Yun Wah segera membuat laporan polis di Balai Polis Permas Jaya untuk membolehkan pihak berkuasa dan bank menyekat akaun berkenaan, selain untuk mendapatkan semula wangnya.

Meskipun selepas lima bulan berlalu, dirinya menantikan perintah mahkamah bagi membolehkan dirinya menuntut wang tersebut dari pihak bank.

Dalam pada itu, Song Tuck menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan janji manis sekiranya menerima panggilan daripada individu tidak dikenali.

Katanya, pelbagai modus operandi digunakan sindiket penipuan ini ada antaranya menawarkan hadiah lumayan.

“Orang ramai perlu berhati-hati sekiranya didatangi individu yang sering menawarkan perkhidmatan pelaburan atau perniagaan yang menjanjikan pulangan lumayan, namun hakikatnya ia hanya satu penipuan semata-mata,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");