Sukan Hari Ini

Amal semangat juang tinggi

smgat juang

KETUA jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek mahu pemain yang bakal menggalas cabaran dalam Kejohanan Piala Thomas di New Delhi bermula hujung minggu ini, sentiasa mengamalkan sikap juang tinggi seperti mana yang dipamerkan mereka pada 1992.

Menurut Rashid, walaupun terlalu banyak keraguan timbul mengenai keupayaan skuad badminton negara merampas kembali kejuaraan Piala Thomas tahun ini, pemain tidak boleh patah semangat sebaliknya sahut cabaran dengan memberikan persembahan terbaik.

Mengimbas nostalgia 22 tahun lalu, Rashid berkata, beliau pernah berada di situasi tersebut di mana Malaysia langsung tidak diletakkan harapan ketika itu, kerana China dan Indonesia terlalu handal dan menjadi pilihan utama.

Bagaimanapun, dengan semangat berpasukan yang kental mereka berjaya menumbangkan China 3-2 di separuh akhir sebelum menakluki Indonesia 3-2 di final.

“Yang penting sekarang jangan patah semangat dengan tekanan yang diterima. Pemain perlu sahut cabaran dan buktikan kita mampu lakar kejutan.

“Kami dulu pun tidaklah bagus sangat, tapi semangat pemain yang menentukan kami juara. Jadi, saya harap, siapa pun pemain yang akan diturunkan Malaysia pada Piala Thomas kali ini membawa semangat yang sama.

“Walaupun kita tidak sehebat China atau Indonesia tetapi kita boleh melakar kejutan,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke New Delhi, India bagi menyertai perlawanan Piala Thomas dan Piala Uber yang bermula Ahad ini.

Dalam pada itu, Rashid turut memberitahu kekuatan mental serta keyakinan diri juga penting untuk membantu pasukan memberikan tentangan sengit dalam setiap perlawanan nanti.

“Perasaan takut akan menjejaskan kesepakatan dalam sepasukan, pemain tidak boleh ada perasaan negatif. Saya percaya pasukan kali ini lebih matang dan bersedia untuk menghadapi Piala Thomas dan perkara paling penting jangan gugup berdepan dengan lawan masing-masing.

“Skuad negara perlu mengambil harapan tinggi rakyat Malaysia serta tekanan luar sebagai cabaran untuk memberi persembahan terbaik nanti,” katanya.

Skuad Piala Thomas kali ini dibarisi Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Liew Daren dan Goh Soon Huat dalam acara perseorangan lelaki, manakala beregu lelaki diwakili Hoon Thien How/Tan Wee Kiong; Tan Boon Heong/Chan Peng Soon dan Lim Khim Wah/Goh V Shem.

Cabaran pasukan Piala Thomas menyaksikan Malaysia diletak dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, India dan Jerman manakala China berada dalam Kumpulan D bersama Taiwan, Rusia dan Perancis.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");