Sukan Hari Ini

Bahang Piala Thomas mula dirasai

liew

BAHANG bagi menghadapi kejohanan Piala Thomas 2014 semakin dirasai.

Hanya seminggu sahaja lagi kejohanan tersebut akan bermula di New Delhi dan skuad badminton negara menyasarkan untuk menjadi juara Kumpulan C bagi memastikan laluan mereka mudah ke peringkat seterusnya, sekali gus dapat mengelak pertembungan dengan China di pusingan suku akhir.

Meskipun jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek menjelaskan segala persiapan akhir telah dilakukan oleh mereka dan yakin bahawa pasukan negara sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan tersebut, namun kebimbangan masih terselit di hati rakyat melihat prestasi pemain terutama pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng dan Liew Daren.

Mampukah kedua-dua pemain tersebut memungut mata dalam perlawanan penting itu bagi menentukan sama ada pasukan negara akan mara ke pusingan seterusnya atau sekadar seri.

Bersediakah mereka memikul tanggungjawab yang besar apabila diletakkan sebagai perseorangan kedua dan ketiga oleh negara?

Menyedari tugas penting itu, Wei Feng yang pernah menyertai pasukan negara dua tahun lalu tapi ditempatkan di kerusi simpanan berkata, beliau sedia menyahut cabaran untuk mewakili negara sebagai pemain perseorangan kedua pada kejohanan berprestij itu.

Katanya, beliau gigih berlatih untuk meletakkan negara pada kedudukan terbaik nanti.

“Piala Thomas kali ini adalah kejohanan yang besar buat saya. Saya bersedia untuk berhadapan cabaran dalam kejohanan itu.

“Walaupun berjaya tersenarai dalam pasukan di Wuhan, dua tahun lalu, saya hanya pemain simpanan, tetapi kali ini segalanya berbeza kerana saya pasti akan bermain dan memberi mata untuk negara sebagai pemain perseorangan kedua,” katanya yang kini menduduki tangga ke-27 pemain dunia.

Untuk rekod, pemain berusia 26 tahun itu pernah menyertai pasukan negara dua tahun lalu sebelum ini tapi ditempatkan di kerusi simpanan.

Ketika itu, Wei Feng di kedudukan keempat di belakang Datuk Lee Chong Wei, Liew Daren dan Muhd Hafiz Hashim.

Walaupun beliau tidak beraksi dalam perlawanan kumpulan tetapi Wei Feng sempat beraksi sebagai perseorangan ketiga menentang Chen Jin dalam perlawanan suku akhir berikutan kecederaan Chong Wei dalam perlawanan kumpulan terakhir menentang Denmark, bagaimanapun tewas dan menyebabkan Malaysia tewas 0-3 kepada pasukan Negara Tembok Besar itu.

Berdasarkan pengalaman itu, adakah ia akan berulang atau Wei Feng akan membuktikan kisah lama tidak boleh menjadi ukuran?

Wei Feng yang berjaya ke peringkat separuh akhir di Terbuka China tahun lalu berkata, prestasinya kini semakin baik dan beliau yakin mampu melakar kejutan.

“Saya memang berharap untuk bermain dengan baik di New Delhi dan menyumbang sebanyak mata yang boleh untuk pasukan. Diharap saya dapat sampai ke peringkat separuh akhir seperti mana yang disasarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM),” katanya.

Selain Wei Feng, pemain lain dalam pasukan negara pada Piala Thomas kali ini adalah Chong Wei, Liew Daren and Goh Soon Huat.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, Jerman dan India.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");