Perak Hari Ini

Bazar Nanas Kurang Sambutan, Pendapatan Peniaga Terjejas

PERAK TODAY 1
Peniaga Bazar Nanas dekat Kampung Selabak, Teluk Intan menyuarakan harapan menggunung agar pihak kerajaan melipatgandakan usaha untuk menarik orang ramai termasuklah para pelancong mengunjungi premis jualan mereka yang sudah beroperasi sejak lebih dua tahun lalu.

Mana tidaknya, dek kekurangan pelanggan, pendapatan peniaga hanya sekadar cukup-cukup makan iaitu antara RM1,000 sebulan.

Bazar yang terletak kira-kira 4 KM dari pekan Teluk Intan itu kelihatan seolah-olah kurang daya penarik untuk menggamit kehadiran pelanggan, dakwa salah seorang peniaga di situ, Shila Sukimi yang menjual buah-buahan dan hasil pertanian tempatan.

Terangnya lagi, sebelum ini keluarganya membuka gerai kecil di tepi jalan tetapi kemudiannya berpindah ke bazar tersebut sejak dua tahun lalu.

“Bagi menarik lebih ramai pengunjung, pihak berwajib seperti Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) perlu bertindak agresif mempromosikan Bazar Nanas sama ada di media cetak atau elektronik.

“Selain itu, kemudahan surau juga harus disediakan bagi memudahkan pengunjung yang beragama Islam menunaikan solat.

“Kemudahan tandas awam pula hendaklah dipastikan berada dalam keadaan bersih dan diselenggara dengan baik,” tambah Shila lagi.

Seorang lagi peniaga yang dikenali sebagai Misliah, berkata beliau membayar sewa RM200 sebulan kepada MPTI untuk berniaga di bazar tersebut.

Tegasnya, pembangunan yang agak perlahan di Teluk Intan menyebabkan peniaga kecil sepertinya turut menerima tempias apabila pendapatan yang diperoleh sekadar cukup makan.

Ulasnya, kerajaan perlu melaksanakan agenda pembangunan secara seimbang yakni tidak tertumpu di kawasan pekan Teluk Intan semata-mata.

Rakyat di kawasan pinggir bandar juga katanya, begitu dahagakan pembangunan bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka.

Keluhan sama turut dibangkitkan pengusaha gerai makanan milik MPTI yang ingin dikenali sebagai Ema sahaja.

Kerajaan negeri katanya, perlu merangka pelan komprehensif untuk membantu peniaga Bumiputera di Teluk Intan yang kebanyakannya menghadapi masalah kekurangan modal.

“Peniaga Bumiputera sering berdepan pelbagai kekangan apabila ingin meluaskan perniagaan mereka dan karenah birokrasi memburukkan lagi keadaan yang sedia ada,” tambahnya.

Katanya lagi, usaha menarik pelabur tempatan dan asing menanam modal di Teluk Intan juga harus dilipatgandakan bagi menjamin masa depan yang lebih cerah khususnya buat golongan muda.

Tambahnya, ini secara tidak langsung dapat menghalang golongan belia berhijrah ke luar untuk mencari kerja.

“Program yang berterusan perlu dirangka untuk menarik minat orang ramai berkunjung ke Teluk Intan bagi menjana ekonomi rakyat khususnya peniaga tempatan,” jelasnya lagi.

PERAK TODAY 6 PERAK TODAY 5 PERAK TODAY 4 PERAK TODAY 3 PERAK TODAY 2

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");