Perak Hari Ini

Calon BN Mahu Bangunkan Teluk Intan Jadi Pusat Komersial

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong berjanji akan bekerjasama dengan pemimpin dari kawasan Bagan Datoh dan Pasir Salak untuk membangunkan Teluk Intan sebagai pusat komersil yang berdaya saing.

“Saya harap pengundi Teluk Intan dapat memberi peluang sekali lagi kepada saya untuk membangunkan kawasan Teluk Intan khususnya dan daerah Hilir Perak amnya menjadi sebuah pusat komersial.

“Sebagai anak tempatan, saya lebih arif dengan suasana serta masalah rakyat di sini,” katanya lagi kepada pemberita selepas bertemu para pengundi di Pasar Besar Teluk Intan, pagi tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Siew Keong berkata, pemberian subsidi seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan salah satu langkah proaktif kerajaan dalam membantu rakyat menangani kenaikan harga barang.

Selain BR1M, pemberian kupon untuk membeli keperluan harian mungkin boleh diaplikasikan bagi membantu rakyat yang berpendapatan rendah, katanya.

“Penggunaan sistem kupon barangan keperluan harian seperti kupon makanan dan perkakasan sekolah antara bantuan yang efektif untuk membantu golongan rakyat yang miskin,” tambahnya lagi.

Tambah beliau, pelbagai program membasmi kemiskinan diperkenalkan secara berterusan dan setakat ini, puluhan ribu rakyat miskin di Teluk Intan telah mendapat manfaat daripadanya.

“Rakyat perlu membezakan antara cakap kosong dan tindakan kerana pusat khidmat GERAKAN sentiasa bergerak dan berusaha membantu golongan miskin di kawasan Teluk Intan,” katanya lagi.

Beliau berkata, pihak juga pembangkang sengaja menimbulkan pelbagai dakyah politik hingga menyebabkan khidmat bantuan perubatan yang disediakan pusat itu dihentikan sepanjang tempoh berkempen PRK Teluk Intan kerana dikhuatiri dianggap sebagai tindakan untuk membeli undi rakyat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");