SEBAGAI seorang penulis skrip, pengarah, penerbit dan pelakon, Jon Favreau barangkali telah mengabdikan diri pada filem-filem hebat Hollywood seperti Iron Man, Cowboys & Aliens atau mungkin menerusi filem Swingers and Made.
Namun kali ini, Favreau kembali dengan sebuah filem ringkas, namun mempunyai jalan cerita yang cukup menarik.
Bertindak sebagai pengarah dan pelakon utama, Favreau membawakan Chef, berkisarkan tentang chef kelahiran Miami bernama Carl Casper (Jon Favreau) yang cuba untuk membuka sebuah restoran di Los Angeles tetapi gagal.
Akhirnya dia kembali ke Miami dan cuba untuk bangkit daripada kegagalan dengan membetulkan trak makanannya yang dinamakan El Jefe Cubanos untuk dibawa menjelajah ke seluruh negara dan mencapai cita-citanya semula di Los Angeles.
Pada masa yang sama, dia cuba memperbaiki hubungannya dengan bekas isteri (Sofia Vergara).
Menariknya mengenai filem ini, penonton pasti akan terliur dengan hidangan-hidangan makanan yang ditampilkan.
Bahkan kehadiran Scarlett Johansson dengan gaya ‘boho’ juga tidak mampu menandingi pemandangan hidangan sekeping daging tebal ala Texas yang dihidangkan di dalam filem ini.
Bukan itu sahaja, pelbagai jenis hidangan lagi yang menjadi ‘menu utama’ filem ini akan membuatkan anda berasa sangat lapar dan ingin mencari makanan sebaik tamat menonton filem berkenaan.
Lakonan mantap
Dengan kehadiran pelakon-pelakon yang kebanyakan kelas A seperti Sofia Vergara, Bobby Cannavale, John Leguizamo, Robert Downey Jr, Dustin Hoffman, Amy Sedaris, dan Emjay Anthony, pada pendapat penulis, memantapkan lagi filem Chef.
Pemilihan mereka sebagai pelakon di dalam Chef dilihat cukup bertepatan dan mereka tidak cuba untuk menandingi antara satu sama lain, sebaliknya karakter mereka juga saling menyokong.
Bukan itu sahaja, sinematografi yang cantik juga menjadi antara taruhan penting di dalam filem ini.
Kelemahan skrip
Namun sayangnya, di sebalik banyak daya penarik di dalam filem ini, Favreau terlupa untuk mengolah skrip agar tampak secocok dengan pakej lain seperti jalan cerita dan pelakonnya.
Ada di antara skrip tidak cukup ‘lazat’ seperti makanan yang terhidang membuatkan ada ketikanya menimbulkan rasa bosan pada penonton.
Namun dari segi unsur komedi, ia tampak lebih berjaya dengan beberapa komedi yang segar.
Bagaimanapun, bagi anda yang mencari sebuah filem santai untuk ditonton bersama rakan atau keluarga, filem ini sememangnya amat sesuai ditonton kerana ada mesej dan unsur kasih sayang yang diterapkan tidak kira dari sudut masakan ataupun perbuatan.
Justeru jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Chef di pawagam pada hujung minggu ini.
– Sinar Harian