Jenayah

Dijel tujuh hari miliki pedang samurai

lelaki dipenjara

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki di penjara tujuh hari dan denda sebanyak RM2000 setelah mengaku bersalah memiliki sebilah pedang samurai di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Nasharudi Mat Nasir, 28, didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 dan boleh dihukum sebagaimana peruntukan di bawah seksyen yang sama.

Tertuduh juga berdepan hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda sebagaimana ditetapkan.

Berdasarkan fakta kes, pada 6 Mei lalu, jam 12.15 malam, ketika pengadu, Mohd Rafie Radzi meronda mencegah jenayah di kawasan pentadbiran Balai Polis Batu Rakit Kuala Terengganu, pengadu bersama anggota telah cuba menahan sebuah Proton Waja warna hitam yang telah dinaiki dua lelaki di tepi jalan Kampung Bukit Berangan, Tepoh.

Bagaimanapun, tiba-tiba pemandu kereta itu memecut laju menghala ke pekan Batu Enam.

Pengadu telah mengejar kereta memasang lampu ‘beacon’ dan siren serta mengarahkan agar pemandu kenderaan itu memberhentikan keretanya menggunakan pembesar suara, namun pemandu tersebut enggan berhenti dan telah melarikan diri menghala ke Wakaf Tembesu.

Pengadu bersama anggota terus mengekori kereta tersebut dan sekali lagi telah mengarahkan kenderaan berkenaan berhenti menggunakan pembesar suara, namun pemandu terus memandu sehingga ke persimpangan lampu isyarat Tok Jembal.

Setibanya di lampu isyarat padang Nenas, anggota Rakan Cegah Jenayah (RCJ) Terengganu telah membantu mengejar kereta itu.

Pengadu bersama anggota bantuan telah berjaya memintas motokar tersebut di hadapan SK Batu Rakit dan pemandunya telah memberhentikan keretanya sebelum cuba melarikan diri dan telah berlaku pergelutan semasa tangkapan dibuat.

Pengadu kemudian telah membuat pemeriksaan dan mendapati terdapat sebilah pedang samurai sepanjang lebih kurang 53 sentimeter di bawah kerusi penumpang di bahagian hadapan bersebelahan pemandu.

Seterusnya pengadu bersama anggota telah menangkap kedua-dua lelaki tersebut serta merampas barang kes dan menahan kereta di Balai Polis Batu Rakit untuk tindakan lanjut.

Siasatan dilakukan Inspektor Mohd Sukri Che Mat dan mendapati tertuduh memiliki senjata yang dijadualkan iaitu sebilah pedang samurai yang ditakrifkan di bawah Jadual Kedua (Seksyen 2 dan 12) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 dalam kawalannya.

Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim dan boleh dihukum sebagaimana peruntukan di bawah seksyen yang sama.

Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dustan Muda.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");