Membawang Hari Ini

Dituduh tak berdisipin, Elfira sedia dihukum

HITS

ELFIRA menegaskan, andai benar dia tidak berdisiplin, dia rela digugurkan daripada teater Di Bawah Lindungan Kaabah:-

FIGURA cantik, Elfira Loy kini sedang sibuk dengan pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah yang sedang dipentaskan di Istana Budaya bermula 9 Mei sehingga 18 Mei ini.

Namun, nama pelakon yang sudah lapan tahun berkecimpung dalam dunia seni ini tiba-tiba menjadi panas. Ia ekoran muncul dakwaan Elfira seorang pelakon yang mempunyai masalah disiplin.

Puncanya, setiap kali sidang media teater itu diadakan, wajahnya tidak kelihatan, tambahan dia juga sering tidak hadir latihan teater yang berlangsung selama sebulan sebelum teater arahan Rosminah Tahir itu dipentaskan.

Apakah cerita di sebaliknya? Ikuti temu bual Kosmo! bersama Elfira yang ditemui usai pementasan pertama teater Di Bawah Lindungan Kabaah pada malam Jumaat lalu.

Kosmo!: Adakah Elfira sedar ada dakwaan mengatakan anda tidak berdisiplin sepanjang menjalani latihan teater Di Bawah Lindungan Kaabah?

ELFIRA: Saya tahu tentang isu tidak berdisiplin itu pun melalui akhbar. Pihak produksi teater, CTRA Production tidak pernah pula bercakap tentang hal itu kepada saya. Bahkan apabila saya datang ke set latihan, tiada apa yang berlaku. Selagi pihak produksi tidak berkata apa-apa tentang hal ini saya tidak mahu ambil peduli. Janji saya jalankan tugas saya mengikut kontrak yang telah ditandatangani.

Apabila isu tidak berdisiplin ini diperkatakan, apakah ia akan menjejaskan reputasi anda sebagai pelakon?

Saya bukan pertama kali berlakon, sudah lapan tahun dan saya juga bermula dengan teater sebelum drama. Saya tahu susah dan keseronokan bekerja dalam sebuah teater. Sepanjang lapan tahun bekerja saya tidak pernah mempunyai masalah disiplin. Rasanya siapa yang pernah bekerja dengan saya tahu komitmen yang saya berikan.

Adakah Elfira terasa hati apabila dikatakan tidak berdisplin sedangkan anda memberi komitmen terhadap teater ini?

Mulanya, memang terasa juga kerana jika benar tidak puas hati dengan saya kenapa tidak bercakap terus atau menegur saya. Hal dalam produksi tidak perlu diceritakan kepada pihak luar. Saya rela digugurkan daripada teater ini andai benar saya tidak berdisiplin, masalahnya tidak siapa daripada produksi yang bercakap hal ini dengan saya. Jadi, saya anggap ia hanya salah faham, tidak perlu diperbesarkan isu ini. Ibu saya banyak memberi kekuatan dan nasihat supaya bekerja secara profesional.

Benarkah anda sering tidak menghadiri latihan teater?

Saya sangat suka terlibat dalam teater. Ketika tawaran ini diberikan, saya sudah terikat dengan kerja lain dan jadual saya agak padat. Saya juga persoalkan adakah saya boleh terlibat dengan teater ini kerana jadual saya yang banyak bertembung dengan waktu latihan. Mereka katakan okey dan saya hanya perlu datang latihan paling minima 10 kali sepanjang sebulan latihan diadakan. Namun, saya datang sebanyak 15 kali. Saya hanya berlakon dalam lima babak dan melontar satu dialog sahaja, jadi 15 kali latihan itu rasanya memadai. Persetujuan antara saya dan produksi telah dicapai sebelum latihan bermula, sepatutnya tidak perlu timbul isu ini. Mungkin sebab semua orang tertekan, banyak perkara tidak disiapkan menyebabkan salah faham ini timbul.

Selepas sedar hal anda tidak berdisiplin diperkatakan, bagaimana anda boleh mengawal emosi dan bekerja secara profesional?

Saya telah tandatangani kontrak. Sebagai pelakon saya harus menghormati kontrak dan bekerja secara profesional. Lagipun, saya menganggap seperti tiada apa berlaku dan bekerja dengan bersungguh-sungguh. Semua pelakon tahu apabila terlibat dalam teater bukanlah ganjaran wang yang dicari kerana bayarannya tidak sebanyak berlakon drama. Semua yang ada hari ini berlakon kerana minat dan kepuasan diri termasuk saya, sebab itu saya boleh ketepikan isu itu dan hanya memberi fokus kepada persembahan dalam teater ini.

Bagaimanakah perasaan anda apabila kali pertama teater ini dipentaskan di hadapan orang ramai?

Sejujurnya, malam ini (Jumaat) merupakan kali pertama kami dapat pentaskan teater ini sehingga habis. Sebelum ini, setiap kali latihan ada sahaja perkara yang harus diperbaiki dan terpaksa berhenti separuh jalan. Malam ini merupakan kali pertama barisan pelakon tahu bagaimana perjalanan keseluruhan teater ini. Selepas ini semua orang akan beri lakonan yang lebih baik kerana kami sudah dapat gambaran yang jelas.

Khabarnya, anda kini juga bertugas sebagai penyampai radio di Era FM, adakah anda begitu tamak melakukan semua kerja serentak?

Bukanlah tamak tetapi sudah rezeki datang dan kebetulan saya juga menyimpan impian untuk cuba menjadi penyampai radio. Selagi usia muda, apa salahnya mencuba pelbagai kerja dalam hidup.

Bermula April lalu, saya bersiaran setiap pagi Sabtu dan Ahad bersama Nabil. Sebelum ini saya hanya datang ke konti radio sebagai tetamu tetapi apabila saya duduk di tempat penyampai radio, tugas mereka bukanlah mudah.

Saya perlu banyak belajar dan buat kajian tentang penyanyi dan industri muzik. Kontrak saya bersama Era FM hingga bulan Jun depan, setakat ini tidak mengganggu kerja lakonan dan saya sendiri seronok bertugas sebagai penyampai radio. –

– Kosmo

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");