Berita Hari Ini

Dulu Pengetua Cemerlang, kini Tokoh Guru

Khuzaimah diapit oleh Noor Haslin (kiri) dan Amirahman gembira dengan anugerah masing-masing:-

LUKUT – Meskipun sudah bergelar pesara sejak tujuh tahun lalu, namun kecintaan serta dedikasi untuk terus menyumbang dalam bidang pendidikan membuatkan Khuzaimah Sulaiman, 63, dipilih sebagai Tokoh Guru Negeri Sembilan 2014.

Khuzaimah yang bersara pada 2007 dan kali terakhir bertugas sebagai Pengetua Cemerlang di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Seremban, menerima anugerah berkenaan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Saya beranggapan adalah menjadi kerugian sekiranya pengalaman saya dalam bidang pendidikan ini tidak dikongsi demi memajukan bidang pendidikan.

“Selain aktif dalam arena pendidikan sebagai Perunding Kanan Institut Aminuddin Baki, penceramah jemputan, panel temuduga, saya juga aktif untuk menulis artikel termasuklah menghasilkan buku berkaitan bidang pendidikan,” katanya.

Menurutnya lagi, dia amat berterima kasih dan bersyukur dengan pemberian anugerah tersebut.

“Saya akan menjadikannya sebagai motivasi dan dorongan kepada terus membantu memperkasakan bidang pendidikan,” katanya yang turut menasihatkan guru-guru hari ini agar ikhlas ketika mendidik anak bangsa.

Pada majlis tersebut, Guru SMAP Labu, Amirahman Abas, 31, dan Noor Haslin Moksin, 49, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jelai, Gemas muncul sebagai Ikon Guru peringkat negeri.

Bagi Amirahman yang pernah mewakili negara di Majlis Tilawah al-Quran di Mashad, Iran dan menjadi qari jemputan Dhiafah al-Quran Sedunia di Austria, dia terharu atas pemberian anugerah itu.

“Apa yang penting saya sentiasa berusaha mempertingkatkan ilmu dalam bacaan al-Quran dengan tartil iaitu memperbaiki sebutan bagi setiap huruf dan makhrajnya secara bertajwid bagi memastikan ilmu yang disampaikan kepada pelajar lebih tepat,” katanya.

Ditanya berhubung pencapaian lain sepanjang kariernya, Amirahman memberitahu, dia juga pernah menjadi hakim majlis tilawah di Afrika Selatan.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");