Membawang Hari Ini

Fathia, kontroversi dan kredibiliti

hi_01.1

MUDIK ke muara rasa empunya nama Nur Fathia Abdul Latiff terselindung empangan air mata yang diseka selama ini. Benar bagai ditelah, hati mana tidak terusik dengan jenaka liar menuduh diri bersikap keanak-anakan.

Fathia Latiff, kalau tidak terkait masalah disiplin pastinya kisah kontroversi dan seksi akan dicari gali sama ada pemuja mahupun pembenci dirinya.

“Hendak menangis bagaikan sudah kering air mata, jujur pada mulanya ketika awal-awal bertapak dalam dunia hiburan hati saya sensitif.

“Adakalanya saya sendiri bersikap defensif terhadap diri sendiri sampaikan pernah rasa paranoid terhadap persekitaran. Nak keluar rumah pun takut. Takut juga sekali buka mulut tersalah bicara, risau juga terlajak perbuatan orang tak suka. Tapi lama kelamaan, pengalaman banyak mendidik saya untuk peka terhadap segala segi,” katanya membuka bicara.

Soal hati dan perancangan ke arah peringat lebih serius dengan kekasih hatinya, pelakon Aiman Hakim Ridza dibiar berlanjut dalam nada bercanda.

Selorohnya: “Biar masa menentukan segalanya. Kalau ada jodoh, adalah. Tunggu sahaja kad undangan perkahwinan.”

Masalah disiplin

Fathia, 27, terbaharu tampil lagi bersama kisah sensasi masalah disiplin membabitkan pembatalan sesi fotografi bersama sebuah penerbitan pada saat-saat akhir sehingga menjejaskan pihak editorial yang terbabit.

Alasannya, diserang penyakit asma yang teruk sehingga memaksa diri terlantar di rumah. Bagaimanapun, cerita itu digembar-gemburkan menyebabkan tercetus suasana genting dan terbit pula salah faham.

“Semua sudah selesai, tidak perlu timbul sebarang cerita berbangkit memandangkan pihak tersebut juga sudah jelas dengan situasi yang berlaku.

“Saya malas untuk ambil tindakan atau memperbesar-besarkan perkara yang remeh-temeh. Kalau ada pihak mahu jatuhkan saya pun, saya tak kisah kerana masyarakat sendiri boleh menilai,” kata Fathia.

Serius

Sebelum itu, timbul juga cerita ketika penggambaran episod akhir drama rantaian popular, Ariana Rose di London yang menyifatkan Fathia gagal menepati masa dan tidak menghafal dialog hingga menyusahkan kru produksi terbabit.

Serius atau tidak berlakon? Fathia sengaja ditebak dengan persoalan memandangkan kredibiliti disiplinnya sering dipertikaikan selama lima tahun pembabitannya.

“Dunia seni adalah minat saya. Apabila sudah terbabit, saya rasakan rezeki ke arah ini dan ini adalah trek terbaik dan jalan pintas untuk memperoleh pendapatan.

“Pada mulanya saya tidak serius kerana saya anggap kerjaya lakonan sekadar mengisi masa terluang dan bukan dunia saya.

“Tapi akhirnya saya memilih untuk berjalan serentak, belajar dan bekerja pada suatu masa walaupun saya tahu susah tapi saya yakin akan berjaya,” ujarnya yang bakal menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Shah Alam menjelang penghujung tahun ini.

Mungkinkah juga nama Fathia Latiff suatu masa kelak akan malap atau terus padam dan mungkin juga waktu itu akan tiba dalam tempoh terdekat?

Figura jelita ini ada prinsip tersendiri dan dia berpegang teguh kepada prinsip tersebut.

Tegas Fathia, di sebalik glamor ruang lingkup kerjaya seninya, dia sebaliknya mempunyai segulung ijazah dalam bidang undang-undang yang boleh dibanggakan dan diguna pakai.

“Saya lebih melihat dunia seni sebagai satu platform untuk melangkah ke bidang yang lebih serius, contohnya bisnes suatu hari nanti.”

“Tidak akan selama-lamanya saya akan menjadi pelakon dan peminat memuja saya. Suatu masa tak mustahil akan rebah,” jelasnya.

Populariti

Akui Fathia, bekerja sambil belajar memang penat tetapi adrenalin untuk mengimbangi kedua-dua bidang itu tidak akan diperoleh tanpa menghadapinya.

Selain melengkapkan ilmu perundangan di dada, Fathia secara tak langsung terlatih membentuk keyakinan diri terutama berdepan dengan sepak terajang dunia hiburan mahupun masyarakat.

Anak sulung daripada empat beradik itu masih belum merasakan dirinya disimbah populariti sedangkan impak daripada drama lakonannya, Ariana Rose sebenarnya melonjakkan nama figura jelita itu secara mendadak.

“Saya popular? Tidak pernah saya terlintas untuk orang meletakkan diri saya dalam kelompok individu popular. Perasaan saya masih sama seperti orang biasa,” tuturnya.

Percubaan pertama Fathia dalam drama rantaian Nur Kasih lima tahun lalu pula nyata membuahkan hasil apabila setahun kemudian dia disunting menjayakan peranan utama dalam drama Hani terbitan Layar Konsult Sdn.

Berbekalkan wajah kacukan Arab-Melayu, Fathia terus melangkah bersama drama-drama seperti Stanza Cinta, Laila Asyikin dan Mahabbah.

Karya drama Dalam Setiap Sujud dan Diandra pula sukses dalam menobatkannya sebagai Pelakon Wanita Pilihan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur tahun ini.

Baiki diri

Sedalam mana hipokrasi diri Fathia untuk menjadi individu lain di hadapan peminat? Sebolehnya gadis kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang itu terus berkelana menjadi diri sendiri.

“Mudahnya adalah muhasabah diri, siapa suka kalau cerita masalah disiplin dan kontroversi saja menjadi isi bicara?

“Insya-Allah, saya akan tonjolkan sisi positif saya dan paling utama menjaga masa. Menjadi jujur dan diri sendiri adalah yang terbaik bukannya bermuka-muka di hadapan peminat,” tegasnya.

Sepertimana manusia biasa, Fathia meletakkan limitasi sejauh mana dirinya bisa diusik dan senakal mana gurauan yang boleh diterima.

“Selagi sesuatu isu itu remeh-temeh dan tidak betul-betul menjejaskan diri ini atau keluarga saya, tidak perlu saya melenting atau melatah.

“Kalau saya di pihak yang benar, saya akan bela diri saya, kalau salah masyarakat boleh menegur saya,” simpulnya.

– Kosmo

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");