Jenayah

Feng Yi dijangka dapat anak kedua di Malaysia

Rakyat Malaysia yang menjadi ‘ibu angkat’ kepada salah seekor daripada pasangan panda gergasi menyimpan hasrat menimang ‘cucu’ tidak lama lagi.

Chit Chen, 55, yang menjaga Feng Yi hampir dua tahun lalu yakin panda itu dapat melahirkan anak memandangkan beruang itu sudah berpengalaman menjadi ibu di China sebelum ini.

“Feng Yi ibu yang baik. Dulu semasa melahirkan anak di China, dia menjaga anaknya dengan baik malah turut menjaga anak kepada pasangan lain.

“Biasanya panda membiarkan anak mereka tapi bukan Feng Yi. Saya yakin dia boleh dapat anak di sini..dia ibu berpengalaman,” ujarnya ketika ditemui selepas menghantar Feng Yi dan Fu Wa di Zoo Negara di sini hari ini.

Makanan termasuk buluh yang menjadi kegemaran panda juga dibawa ke kandang Feng Yi dan Fu Wa di Zoo Negara (gambar bawah).

Anak Feng Yi yang pertama turut diambil Chen sebagai anak angkat dan diberi nama Princess manakala abang kepada Feng Yi yang sudah mati diberi nama Gift.

Pasangan panda itu tiba awal pagi tadi melalui Kompleks MASKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pukul 7.53 pagi dengan pesawat MASKargo Airbus 330-200 (MH6462) dari Chengdu, China.

Chen seterusnya berharap panda itu dapat membiasakan diri dengan cuaca dan persekitaran di Zoo Negara walaupun pada mulanya beliau sendiri meragui mengenai keadaannya.

“Tahun lepas saya mulanya takut bimbang Feng Yi tidak dapat hidup di sini kerana panas. Panda binatang yang hidup di kawasan pergunungan China yang kawasannya sejuk tetapi selepas melihat kerja pengubahsuaian 24 jam dibuat di Zoo Negara dan bertemu dengan doktor-doktor haiwan di sini saya yakin Feng Yi akan dijaga dengan baik,” katanya.

Feng Yi dipinjamkan oleh kerajaan China kepada Malaysia selama 10 tahun.

Sebaik sahaja sampai di kandang baharu mereka di Zoo Negara, pasangan panda itu akan dikuarantin selama sekurang-kurangnya 13 hari bagi membiasakannya dengan suasana baharu.

Selepas itu, baru ia dibuka untuk pameran orang awam dan dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada penghujung Jun ini.

Feng Yi dan Fu Wa merupakan simbol jalinan diplomatik 40 tahun hubungan Malaysia dan China melalui Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Panda Gergasi.

Penghantaran pasangan panda itu mulanya dijadualkan pada 16 April lalu namun ditangguh ekoran kerajaan China mahu menumpukan usaha mencari pesawat MH370 yang hilang 8 Mac lalu.-

-MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");