Membawang Hari Ini

Gimik Jamal mahu bersara

jamal

Tiada istilah bersara dalam hidup Raja Pop Datuk Jamal Abdillah dalam bidang nyanyian yang sudah menjadi darah dagingnya sejak 34 tahun lalu.

Bagi pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Ali, 55, ini, dia akan terus menyanyi selagi ada permintaan daripada peminatnya.

“Saya akan terus menyanyi selagi masih bernafas dan dikurniakan Allah SWT kesihatan yang baik. Justeru, cerita saya dilaporkan di akhbar ingin bersara dalam bidang seni tempatan sebelum ini adalah kerana salah faham saja.

“Sebenarnya, apa yang saya katakan itu adalah gimik dalam persembahan saja dan ia mengikut skrip yang disediakan mengenai siapakah yang akan menjadi pengganti saya dalam bidang seni selepas ini. Mengikut skrip itu, anak saya, Osama akan keluar ke pentas dan dialah sebenarnya yang bakal menjadi pengganti saya kelak.

“Namun, kata-kata saya itu rupa-rupanya sudah disalah-ertikan pihak media yang membuat liputan dengan menganggap saya ingin bersara dari bidang seni sekali gus turut menimbulkan kemarahan dari kelab peminat saya ketika itu,” katanya.

Jamal berkata demikian ketika menjayakan persembahan sempena sambutan Hari Ibu yang berlangsung di Dewan N’Dah Mahligai, Seksyen 14, Shah Alam malam kelmarin.

Pada malam yang cukup bermakna itu, Jamal turut menerima kejutan daripada kelab peminatnya, Kelab Peminat Datuk Jamal Abdillah yang turut meraikan hari jadinya yang ke-55 tahun pada tanggal 9 Mei lalu.

“Secara peribadi, saya tidak suka menyambut hari jadi kerana usia akan bertambah pada setiap tahun. Namun, saya tetap menghargai apa yang dilakukan kelab peminat yang tidak pernah lupa untuk meraikan hari jadi saya saban tahun.

“Impian saya sempena usia yang semakin bertambah ini ialah ingin menjadi bapa yang lebih baik buat dua anak, Osama Yamani, 13, dan Ahmad Zaki, 7 sekali gus melihat mereka berjaya dalam hidup.

“Saya juga bersedia jika Osama ingin bersaing dengan saya dalam bidang seni, tetapi dia mesti berusaha untuk menjadi sehebat Allahyarham Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee dan Datuk Ramli MS,” katanya.

Selain memenuhi undangan majlis makan malam anjuran pihak korporat, Jamal juga sibuk membuat persiapan rapi sempena konsert yang mengimbau nostalgia bersama penyanyi terkenal Indonesia, Eddy Silitonga yang akan berlangsung di Istana Budaya pada Ogos nanti.

Air mata menitis ketika hiburkan golongan ibu

Nama penyanyi hebat ini bagaikan sudah sinonim dengan persembahan sempena sambutan Hari Ibu saban tahun.

Justeru, setiap kali tibanya Hari Ibu, Jamal tidak pernah lupa untuk meraikan insan yang paling istimewa dalam hidup kita itu.

Sebagai anak, Jamal juga mengajak peminatnya terutama generasi muda supaya menghargai ibu ketika mereka masih hidup di dunia ini.

“Setiap kali tibanya sambutan hari ibu saban tahun, pasti saya terkenangkan arwah ibu, Zainon Hassan yang sudah tiada. Arwah ibu meninggal dunia kerana pelbagai penyakit termasuk kencing manis dan darah tinggi pada 1991. Maklumlah, saya kurang menghabiskan masa bersama arwah kerana sibuk dengan karier seni ketika itu.

“Antara kenangan bersama arwah ibu yang masih segar di ingatan ialah saya menyanyi sambil menemani arwah memasak di dapur,” katanya.

Bukan saja sebak terkenang arwah ibu, Jamal juga mengakui air matanya pasti akan menitis kerana menjiwai lirik lagu yang disampaikan.

“Setiap kali menyampaikan sesebuah lagu pasti saya menghayatinya dengan mendalam hingga menitiskan air mata.

Ada juga lagu yang disampaikan menyimpan kenangan dalam hidup saya hingga membuatkan hati mudah tersentuh,” katanya.

Pada malam yang cukup bermakna itu, Jamal menghiburkan golongan ibu dengan rangkaian lagu popularnya seperti Gadis Melayu, Kekasih Awal dan Akhir, Terharu, Kau Lupa Janji, Antara Yakin dan Curiga, Keluhan Perantau, Rayuan Maut, Penawar Kasih, Oh Mustika, Perjalananku, Berdendang Dalam Tangisan, Di Sudut Kamar Hati, Mati Hidup Semula, Ghazal Untuk Rabiah dan Takdir Penentu Segala.

Tidak ketinggalan, lagu ciptaan komposer terkenal, Datuk Ahmad Nawab iaitu Sepi Seorang Perindu dan Hilanglah Rindu yang masih menjadi siulan sampai hari ini.

Penyanyi ini juga tidak menghampakan permintaan peminat wanita yang ingin dia menyampaikan lagu popularnya, Azura secara ‘minus one’ walaupun ia tidak ada dalam senarai lagu pada malam itu.

Bagi merancakkan lagi persembahannya pada malam itu, Jamal turut berduet dengan penyanyi undangannya Nas Adila menerusi dua lagu iaitu Kehebatan Cinta dan Sandarkan Pada Kenangan.

Acara kemuncak pada malam itu, Jamal turut menyampaikan lagu Penawar Kasih dengan mengundang seorang ibu yang hampir sebaya dengan arwah ibunya untuk berada di atas pentas sekali gus mengakhiri persembahan pada malam itu.

Selain persembahan Jamal, majlis ini turut diserikan dengan penampilan Nas Adila selaku penyanyi jemputan dan Jihan Raja Lawak selaku pengacara.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");