KUANTAN – Seorang warga emas di sini hanya mampu menjerit meminta tolong sebaik sahaja melihat api marak dengan cepat dari bahagian dapur rumahnya di Kampung Permatang Badak.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Wan Hindun Wan Hassan, 74, berkata, dia berada di rumah jiran kira-kira 10 meter dari rumahnya.
Menurutnya, ketika sedang rancak berbual, dia melihat api menjulang tinggi dari bahagian dapur sebelum menjerit meminta tolong.
“Makcik tak sempat selamatkan apa-apa tapi jiran-jiran sempat menyelamatkan motosikal yang berada di garaj.
“Selebihnya tiada apa-apa yang tinggal, semuanya musnah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Wan Hindun yang tinggal bersama anak bongsu dan tiga cucu di rumah itu bagaimana pun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.
Anak bongsunya, Wan Muhadariyah Wan Mustafa, 36, berkata, dia sekeluarga tiada di rumah ketika kejadian kerana menghadiri Program Hari Keluarga di Taman Gelora.
Katanya, dia mendapat panggilan telefon daripada kakak ipar, Wan Zubaidah Wan Zainal Abidin dan bergegas pulang untuk melihat keadaan rumah.
“Luluh hati saya melihat rumah pusaka musnah dalam kebakaran. Tetapi nasib baik mak saya selamat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Operasi Balai Bomba Indera Mahkota, Mohd Najib Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.17 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama tiga jentera bomba.
“Kebakaran dapat dikawal dalam masa setengah jam daripada merebak ke rumah terdekat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail yang turut hadir melawat mangsa berkata, pihaknya bersimpati dengan kejadian yang menimpa keluarga itu dan berusaha membantu.
Beliau berkata, selain bantuan segera oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari segi makanan dan pakaian, pihaknya akan membuat permohonan mendapatkan rumah melalui agensi berkaitan.
“Kita akan mengusahakan bantuan rumah kepada mangsa dan berharap bersabar dengan dengan kejadian ini,” katanya.
-Sinar harian