Jenayah

Hasrat bersiar-siar berakhir tragedi

hasrat bersiar2

JELI – Keriangan lima sahabat yang menunggang motosikal berkuasa tinggi untuk bersiar-siar di daerah ini, berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kampung Gemang, dekat sini, kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 10.25 pagi di Kilometer 88.3 Jalan Kota Bharu-Machang-Gerik itu, mangsa, Mohd Zabri Ismail, 38, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan dada.

Kemalangan berlaku apabila motosikal Kawasaki Ninja ditunggangi mangsa merempuh sebuah van Ford Econovan yang dipandu seorang penjual sayur wanita berusia 48 tahun.

Abang mangsa, Ibrahim Ismail, 60, berkata, adiknya itu keluar dari rumah keluarga di Kampung Hutan Chengal, dekat Tendong, Pasir Mas, kira-kira jam 9 pagi.

“Saya sempat bertanya arwah nak ke mana dan dengan wajah riang, dia menjawab ingin keluar makan dan bersiar-siar bersama rakan di Jeli sambil ‘memanaskan’ enjin motosikal.

“Kira-kira jam 10.30 pagi, seorang rakannya menghubungi saya dan beritahu arwah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang meragut nyawanya,” katanya ketika ditemui di Hospital Jeli, kelmarin.

Ibrahim, yang bekerja di Kuala Lumpur berkata, dia tidak menyangka kepulangannya pada cuti hujung minggu untuk bersama keluarga adalah pertemuan terakhirnya dengan adiknya itu.

Menurutnya, Allahyarham Mohd Zabri yang masih bujang merupakan anak ketujuh daripada sembilan beradik dan tinggal bersama ibu mereka, Zaharah Abdullah, 80.

“Arwah seorang yang periang dan mesra terutama dengan kakak dan abangnya, Fauziah, 48, serta Hisyamudin, 46. Arwah juga amat rapat dengan anak-anak saudaranya. Walaupun sedih, kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.

Jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Pasir Mas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Sheikh Azhar Sheikh Omar mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, siasatan awal mendapati, motosikal mangsa datang dari Tanah Merah menuju ke Jeli berada di laluan kiri, manakala van terbabit berada di laluan kanan jalan dari arah sama.

“Apabila sampai di tempat kejadian, van terbabit dipercayai melintas ke laluan kiri jalan untuk memasuki simpang dan disebabkan jarak terlalu dekat, mangsa gagal mengelak lalu merempuh bahagian tengah van.

“Rempuhan menyebabkan mangsa tercampak dan polis yang tiba di tempat kejadian mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dan dada,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");