Jenayah

Hasrat bertunang tak sampai

Hasrat btunang

BANDARAYA MELAKA – Hasrat seorang pembantu kedai untuk bertunang pada Aidilfitri nanti tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.15 pagi itu, mangsa, Ahmad Rafiquddin Roslan, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di muka dan leher, selain pergelangan kaki kanan terkulai apabila motosikal jenis Suzuki RG ditunggangnya berlanggar sebuah kereta dari arah bertentangan.

Rakannya, Fadzil Abu Bakar, 18, yang membonceng bagaimanapun hanya cedera ringan di kaki dan tangan kanan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki mangsa cuba memotong kenderaan di hadapan, bagaimanapun terlanggar bahagian kanan hadapan Proton Saga dipandu lelaki berusia 49 tahun yang datang dari arah bertentangan.

Fadzil berkata, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan ke rumahnya di Limbongan, dekat sini.

“Sebaik kemalangan, saya tidak ingat apa berlaku kerana pengsan beberapa minit. Selepas sedar saya lihat Ahmad Rafiquddin terbaring di tengah jalan.

“Saya lihat dia tidak bergerak dan pergelangan kakinya terkulai. Saya dimaklumkan dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.

Sementara itu, bapa Ahmad Rafiquddin, Roslan Adam, 45, berkata, kali terakhir dia  bertemu anaknya yang dipanggil Along pada Rabu lalu ketika singgah di kedai makan tempat dia bekerja sebagai penarik beca di Banda Hilir.

“Arwah seorang yang periang dan tiada perubahan ditunjukkannya sebelum ini.

“Cuma,  dia ada menyatakan hasrat mengikat tali pertunangan dengan teman wanitanya pada Aidilfitri nanti,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");