Membawang Hari Ini

hlive! tampil berita hiburan eksklusif

hLive!

Seiring peredaran masa yang mana hiburan juga tidak dinafikan antara nadi kepada masyarakat kala ini, wujud perbezaan corak penerimaan terhadap kandungan disalurkan khasnya menerusi program televisyen itu sendiri.

Kemunculan pelbagai program hiburan tempatan nyata memberi pilihan kepada penonton dan sudah boleh menilai sendiri mana program yang mampu memberi kandungan terbaik mahupun tidak.

Kepelbagaian pecahan kandungan sesuatu program hiburan sekarang ini pun sudah cukup ketara kerana bukan semata-mata bergantung kepada gosip, perkembangan kerjaya malah sudah merangkumi fesyen serta elemen lain.

Harus diakui, pecahan begitulah yang sememangnya diidamkan penonton terutama sekali apabila menyentuh mengenai seseorang personaliti selain perkembangan terkini berita hiburan lain.

Tampil lebih segar dan menjanjikan berita hiburan eksklusif, sebuah lagi program terbitan Astro yang bakal menggegarkan industri tempatan iaitu hlive! bakal memulakan siarannya pada 26 Mei ini, setiap Isnin hingga Sabtu, jam 1 tengah hari dan jam 8.30 malam menerusi Astro Ria (104) serta Maya HD (135).

Yang pasti, program terbabit jelas berada pada prestij tersendiri selepas konsepnya seakan-akan rancangan hiburan antarabangsa paling berpengaruh E! News di samping membariskan penyampai muda.

Mengadakan pelancarannya pada acara penuh glamor malam kelmarin bermula jam 8.30 malam di Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur, ternyata program berkenaan bakal mencetus dimensi baru dalam hiburan tanah air.

Uniknya lagi, rangka strategi pendekatan menyeluruh 360 darjah disusun menggunakan kelebihan jentera promosi milik Astro merangkumi penyiaran secara on air, laman portal, penerbitan digital, acara jelajah atau lapangan, radio, perkhidmatan aplikasi serta perkhidmatan Astro On-The-Go.

Bagaimanapun, cukup menekankan kepada kandungan itu sendiri, menurut Naib Pengerusi Bahagian Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, selain menawarkan paparan berita tempatan, hlive! turut diselit cerita hiburan antarabangsa.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan program hlive! sebagai pilihan utama rakyat Malaysia yang dahagakan liputan berita eksklusif paling terkini dan sensasi mengenai dunia hiburan.

“Selain itu, program ini juga istimewa kerana mendapat kerjasama daripada pihak E! News yang akan turut berkongsi kandungan antarabangsa,” katanya.

Menerusi platform Tonton, Dengar dan Baca, pengisian hlive! diselaraskan merangkumi sumber dan inti pati kandungan jenama hiburan Melayu Astro iaitu Astro Ria, Astro Awani, Era fm, Sinar fm, In Trend, Astro Gempak, MeleTOP, Studio H dan juga Murai.com.my

Untuk platform Tonton saja khasnya, dua buah program diperkenalkan termasuklah hlive! Apa Kata Malaysia yang akan dikendalikan Datuk Aznil Nawawi setiap Ahad jam 8.30 malam bermula 25 Mei nanti.

Bagi hlive! pula, program dua kali sehari itu akan diterajui muka baru dalam penyiaran iaitu Dahlia Shaz­wan; 26, Nabil Mahir; 26, Shalma Ainaa; 23, dan Alif Farhan; 24, sebagai pengacara. Antara segmennya termasuklah Tweet Nakal, 15 Soalan, Di Sebalik…, Fakta Atau Propa, Pilihan H serta banyak lagi.


Mendapat sokongan mantap artis

Berlangsung meriah menerusi pelancarannya, kehadiran ramai artis yang membanjiri stadium berkenaan membuktikan sokongan mereka terhadap kemunculan program hlive! itu sendiri.

Dihoskan pengacara tidak asing lagi Neelofa dan Nabil Ahmad, seawal jam 7 malam pekarangan lokasi berkenaan dilimpahi lampu kamera tatkala artis nama besar melangkah ke karpet merah.

Antaranya termasuk Aaron Aziz, Zizan Razak, Datuk Aznil Nawawi, Emma Maembong, Tasha Shilla, Datuk Siti Nurhaliza, Hafiz Suip, Nurul Depp, Stacy, Awal Ashaari, Scha AlYahya, Amber Chia, Nazim Othman, Daphne Iking, Karl Shafek, Sharifah Sakinah, Ryzal Jaafar, Hyper Act dan ramai lagi.

Turut memberikan sokongan pengamal fesyen terkenal Malaysia termasuk Hatta Dolmat, Bon Zainal, Fairuz Ramdan, Wak Doyok dan sebagainya.

Menghangatkan acara pada malam itu, turut ditampilkan untuk membuat persembahan tidak lain tidak bukan penyanyi hebat Anuar Zain yang tampil dengan tiga lagu tidak terkecuali Sedetik Lebih.

Pentas semakin panas pula selepas itu dengan kemunculan Stacy yang tidak pernah mengecewakan dengan nyanyian menerusi Gilalah serta gerak tari penuh bertenaga.

Bukan saja mengadakan pelancarannya yang mana disempurnakan Khairul sendiri, pada malam itu juga Awal Ashaari dan Tasha Shilla dianugerahkan pakaian terbaik pada malam itu.

Sempat diwawancara mengenai hlive! sendiri, menurut Tasha, program itu sendiri memberi nafas baru baik daripada penyampai serta kandungan itu sendiri.

“Saya harap program ini bakal mendapat sambutan yang memberangsangkan dan gembira kerana ia sesuatu program menarik serta segar,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");