Jenayah

‘Ini hadiah untuk ayah’

konvokesyen

Shah Alam: “Walaupun tidak dapat berkongsi hari bersejarah ini dengan ayah, saya tetap bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian dan lebih bermakna, saya terpilih sebagai penerima Anugerah Naib Canselor. Ini hadiah untuk ayah, ibu dan keluarga.”

Itu luahan graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen, Akmal Afiq Farhan, 24, yang terpaksa menempuh susah payah sepanjang pengajiannya apabila bapanya meninggal dunia empat tahun lalu akibat demam panas.

Akmal yang mendapat keputusan Nilai Gred Purata Kumulatif (CGPA) 3.93 berkata, ketiadaan bapanya bukannya alasan berputus asa, malah memberikan suntikan semangat untuk berjaya dan mengubah nasib keluarganya.

“Walaupun dunia seakan gelap sebaik menerima berita kehilangan ayah, saya tetap gagahkan diri untuk terus belajar bersungguh-sungguh selain mendapat sokongan daripada ahli keluarga yang lain.

“Bagi saya, hanya pelajaran mampu mengubah nasib seseorang dan disebabkan itu saya akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk setiap tugasan serta memberi tumpuan ketika kuliah,” katanya ketika ditemui di Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-80, di sini, semalam.

Penerima anugerah sama, Nafissa Mazlan, 23, berkata sikapnya yang suka bertanya ketika kuliah memberikannya kefahaman yang lebih baik untuk setiap topik yang dibincangkan bersama pensyarah.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik yang memperoleh CGPA 4.00 itu berkata, sikap pemalu perlu dikikis dalam setiap diri pelajar kerana ia hanya akan menyukarkan mereka untuk memahami topik yang dipelajari.

“Tidak perlu malu untuk bertanya, bukan saja kepada pensyarah, tetapi juga kepada rakan sekuliah.

Anugerah yang diperoleh hari ini (semalam) menguatkan semangat saya untuk terus belajar sehingga ke peringkat Doktor Falsafah seterusnya bergelar pensyarah,” katanya.

Dalam istiadat sama, dua jurugambar sambilan kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) Malaysia Berhad Balai Berita Shah Alam turut menerima ijazah masing-masing.

Jurugambar berkenaan, Asyraf Bokhar, 25, dan Abdul Jabar Idris, 24, masing-masing menerima Ijazah Sarjana Muda Fotografi dan Media Kreatif.

Pada istiadat semalam, seramai 813 graduan menerima Ijazah dan Diploma masing-masing daripada Pro Canselor UiTM, Tan Sri Sallehuddin Mohamed.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");