Berita Hari Ini

Isu halal, haram dipandang remeh

KUALA TERENGGANU – Persoalan produk halal dan haram seolah-olah dipandang remeh sesetengah pengilang sebagaimana ditetapkan di dalam Akta Makanan 1983.

Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia cawangan Terengganu (DPIMT), Datuk Dr Abd Latiff Awang berkata, sensitiviti umat Islam tidak lagi dihormati dan ia merupakan perbuatan yang menghina kedudukan Islam dalam perlembagaan.

Menurutnya, meskipun ada agensi dipertanggungjawabkan untuk mengurus, memantau serta mengeluarkan sijil halal kepada produk dan pengeluarnya, malangnya mereka seperti sekadar melepaskan batok di tangga.

“Sehubungan itu, DPIMT dalam mesyuarat agung di Dewan Konvensyen, Yayasan Pembangunan Usahawan, baru-baru ini meluluskan usul untuk memperkasa dan memperbaiki kelemahan serta penguatkuasaan sedia ada agar pematuhan terhadap garis panduan halal berjalan dengan sempurna.

“Kita turut mengusulkan agar mewujudkan satu jawatankuasa audit peringkat kebangsaan dianggotai ahli pakar syariah dan profesional yang berwibawa serta berintegriti.

“Tindakan tegas terhadap pengilang juga perlu diambil dengan menggantung atau membatalkan lesen mereka, selain hukuman tegas terhadap pegawai yang menyalahgunakan kuasa, jika sabit kesalahan,” katanya.

Selain itu, usul lain turut diluluskan adalah menggesa kerajaan menyemak kembali peraturan atau menguatkuasakan undang-undang, yang mencegah satu daripada elemen pergaulan bebas dengan melarang penunggang motosikal membonceng orang bukan mahram.

Kata Abd Latiff, ini kerana penyumbang terbesar kepada masalah sosial adalah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan terutama dalam kalangan remaja.

“Selain itu, ahli DPIMT menyokong usul ucapan syabas dan tahniah kepada Datuk Ahmad Razif Abd Rahman di atas pelantikannya sebagai Menteri Besar Terengganu.

“Semoga dengan pelantikan ini, Terengganu akan bertambah maju dan makmur seiring dengan inspirasi Malaysia Maju 2020. Kami akan menyokong dan memberi kerjasama selagi ia memberi kebaikan serta kepentingan kepada seluruh rakyat Terengganu.

“Kami juga ucapkan terima kasih kepada mantan menteri besar di atas segala bakti dan keringat yang beliau curahkan selama ini. Yang datang didukung dan dihargai, yang pergi akan dikenangi,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");