Berita Hari Ini

Jenazah Robia Kosai disemadi di Parit Yusof

Kakak kepada Allahyarham Datuk Dr Robia Kosai, Kamariah Kosai (dua dari kanan) melihat salah seorang daripada sanak saudaranya merenjis air mawar dan menabur bunga di pusara bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Negeri, Dr. Robiah, di Tanah Perkuburan Islam Parit Bali, Parit Yusof, Muar di Muar hari ini. – Foto Bernama

MUAR – Jenazah bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Negeri Johor Dr. Robia Kosai, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Bali, Parit Yusof, Muar, tengah hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim; dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan dan Koperasi Negeri Johor Md Jais Sarday, selaku wakil rasmi Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; adalah antara kira-kira 500 orang sanak saudara, dan penduduk setempat yang hadir di majlis pengkebumian itu.

Terdahulu, jenazah Allahyarham yang tiba di kediaman Datin Azizah Samad, saudara angkat beliau di pekan Parit Yusof pada awal pagi, disembahyangkan di Masjid Jamek, sebelum dibawa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ.

Turut mengiringi ke tanah perkuburan ialah Pegawai Kanan Kesihatan Daerah Muar Dr. Zulkifli Othman dan pegawai-pegawai lain jabatan kerajaan di daerah ini.

Isteri Menteri Besar Johor Datin Seri Rosni Omar turut menyampaikan ucapan takziah kepada kakak Allahyarham Kamariah Kosai, 76, ketika mengunjungi kediaman saudara angkat Dr. Robia.

Dr. Robiah, 65, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tawakkal, Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 8.30 malam tadi selepas tidak sedarkan diri selama seminggu di hospital tersebut akibat diserang sakit jantung.

Allahyarham meninggalkan dua orang anak angkat, Azarul Mahmod, 29, dan adiknya, Munawarah Mahmod, 21.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");