SEGAMAT – Sebanyak 11 laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, di sini, semalam, berhubung individu yang mempersendakan azan melalui status yang dimuatnaik di akaun laman sosial, Facebook miliknya.
Antara pihak yang membuat laporan adalah Pemuda Umno Bahagian Sekijang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Daerah Segamat, Majlis Belia Daerah Segamat dan persatuan belia di daerah ini.
Ketua Pemuda Umno Sekijang, Mohammad Salleheen Mohamad berkata, pihak bertanggungjawab seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa menjalankan siasatan ke atas akaun terbabit.
“Status Facebook itu tidak sepatutnya dimuat naik kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam di seluruh dunia yang amat menghormati seruan azan. Ini kerana, setiap kalimah dilaungkan mempunyai maksud suci.
“Saya mewakili semua pihak yang hadir kesal dengan tindakan ini, tambahan pula individu tersebut telah mengubah azan dengan memasukkan nama pemimpin PR dan pemimpin sebuah NGO,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Salleheen yang juga Naib Presiden Majlis Belia Daerah Segamat berkata, seseorang individu perlu berfikir secara matang sebelum melakukan sebarang tindakan khususnya melibatkan sensitiviti perkauman dan agama di negara ini.
Sementara itu, pengerusi Persatuan NGO Melayu Daerah Segamat, Jamaluddin Rasip berkata, tindakan dilakukan individu terbabit secara tidak langsung membangkitkan kemarahan orang Islam yang dilihat banyak bersabar selama ini.
“Walaupun saya melihat apa yang ditulisnya bersifat peribadi, tetapi tindakannya melampau kerana mempergunakan kesucian agama Islam asalkan kepentingan peribadi mereka dapat dicapai.
“Apa yang saya tahu, umat Islam di negara ini tidak pernah bertindak melampau dengan mempersendakan mana-mana agama lain, tetapi tindakan ini seperti sengaja dibuat seolah-olah mahu melagakan umat Islam di Malaysia,” katanya.
Justeru, beliau mahu pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit.
-Sinar harian