Jenayah

Kubah atas tandas diturunkan

rekaan kubah

Kota Tinggi: Reka bentuk tandas sebuah resort di Desaru di sini, yang dilengkapi kubah menyerupai masjid, menimbulkan persoalan hingga mencetuskan perdebatan, dalam laman sosial sejak kelmarin.

Susulan pelbagai komen dan rasa tidak puas hati orang ramai yang disuarakan menerusi blog dan laman sosial, pengurusan resort itu bertindak menurunkan tiga kubah itu, pagi semalam.

Tinjauan BH mendapati binaan tepi kolam renang yang dijadikan tandas itu, kini tidak lagi mempunyai kubah dan kerja menurunkannya hanya mengambil masa kira-kira sejam, sekali gus membuatkan bangunan itu tidak lagi menyerupai sebuah masjid.

Kekalkan binaan

Pengurusan resort ketika ditemui, menafikan sengaja mencemarkan imej Islam, sebaliknya bangunan itu hanya dikekalkan dan dibaik pulih daripada pemilik asal resort berkenaan sebelum ini.

Dakwanya, bangunan itu dibina sejak 1998 berdasarkan konsep seni bina Maghribi oleh pemiliknya, yang dipercayai berasal dari Singapura.
Selepas diambil alih sejak 2008, pemilik baru mengekalkan bangunan asalnya, selain mengecatnya semula termasuk kubah yang dicat kuning keemasan.

Difahamkan pengurusan resort mengarahkan kubah itu diturunkan jam 8 pagi semalam, selepas dimaklumkan kakitangannya mengenai isu itu hangat dalam laman sosial.

Pihak polis dan Jabatan Agama Johor (JAJ) turut meninjau keadaan bangunan terbabit.

Malah pengurusan resort turut menafikan berniat mempersenda atau mencemarkan imej Islam, selain selama ini tidak pernah menerima rungutan berhubung reka bentuk bangunan berkenaan.

Tindakan biadab

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadot, menyifatkan isu binaan tandas yang menyerupai masjid yang menjadi tempat paling suci bagi umat Islam sebagai sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan biadab.

“Mereka (pemilik atau pengurusan) resort itu sepatutnya sudah faham dan peka mengenai sensitiviti umat Islam kerana tinggal di negara dan negeri Islam.

“Mereka juga sepatutnya mengetahui dan faham, Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi juga termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan juga Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895,” katanya.

Noh berkata, beliau juga kesal kerana reka bentuk kubah itu dikatakan sudah lama dibina dan digunakan sejak beberapa tahun lalu. Tegasnya, umat Islam yang menyedari perbuatan itu sepatutnya sudah lama melaporkan keadaan itu supaya tindakan sewajarnya diambil segera.

Mengulas alasan pihak tertentu yang menyamakan binaan kubur di Taj Mahal turut menyerupai masjid, Noh menegaskan, kubur dan tandas adalah dua binaan yang berbeza.

Katanya, Taj Mahal dibina atas dasar kasih sayang dan cinta seorang suami kepada isterinya, manakala tandas pula tempat yang kotor.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");