Membawang Hari Ini

Lagenda Datuk Dol Said, sarat perjuangan!

BUAT julung kalinya seorang tokoh yang tidak asing lagi dalam sejarah masyarakat Melayu, Datuk Dol Said diangkat menerusi teater monodrama bertajuk Lagenda Dato’ Dol Said: Orang Kaya Seri Raja Merah, telah melabuhkan tirainya pada 18 Mei lalu di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pementasan ini mendapat sentuhan pengarah, YM Raja Azrey Raja Kamaruzzaman dan skrip garapan, Abd Walid Ali serta dipersembahkan hasil kerjasama penuh dari Istana Nan Panjang Undang Wilayah Naning 19, Persatuan Geliga Merah Opera dan DBP.

Teater monodrama ini berkisar tentang perjuangan kerajaan Naning semasa pemerintahan Dol Said. Semasa Dol Said menjadi pemerintah kerajaan tersebut, tercetusnya Perang Naning yang mencatatkan kemenangan Naning dalam peperangan pertama.

Perkara tersebut menyebabkan pihak British menanggung malu, lalu mereka merencana strategi perang kotor tanpa mahu menyerah kalah.

British memberikan hadiah kepada kerajaan sekitar Naning untuk meraih sokongan. Perkara tersebut berjaya menarik rakan seperjuangan Dol Said dari kerajaan Rembau, Syed Syaaban untuk berpaling tadah dan berpihak kepada British.

Justeru, Naning tewas dalam peperangan kedua kerana tidak mendapat bantuan daripada Rembau.

Dol Said dan orang-orangnya bermandi keringat dan bertumpah darah demi mengekalkan Naning sebagai kerajaan kecil yang berdiri sendiri dan merdeka dari taklukan British.

Pun begitu, kepincangan yang berlaku dalam kerajaan Naning berpunca daripada orang dalam dan menyebabkan kehancuran satu komuniti masyarakat yang harmoni.

Mesej yang disampaikan relevan dengan situasi masyarakat kita tidak kira dahulu atau hari ini.

Jelas, pengajaran yang diterapkan dalam teater ini mampu menjulang lagenda Dol Said sebagai pemimpin unggul yang wajar diingati masyarakat Melayu sepanjang zaman!

Lagenda Datuk Dol Said

Menakjubkan! Itulah perkataan paling tepat untuk menggambarkan pementasan teater monodrama Lagenda Dato’ Dol Said secara keseluruhan.

Pertaruhan Raja Azrey menerusi pementasan ini berjaya menampilkan fakta sejarah sebagai subjek utama penceritaan di samping memilih konsep monodrama, iaitu hanya menggunakan seorang pelakon bagi melakonkan empat watak diselangi dengan kemunculan penari sebagai korus.

Justeru, tidak keterlaluan jika penulis melabelkan teater ini ‘bersejarah’, bukan sahaja kerana pengisian jalan ceritanya yang digarap berdasarkan perjuangan Datuk Dol Said menentang British, malah persembahan bertenaga dan mengagumkan ditunjukkan sepanjang monodrama berdurasi satu jam dua puluh minit itu berlangsung.

Sudah tentu, pementasan gilang-gemilang tersebut tidak dapat dikecapi tanpa penglibatan teraju utamanya, Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadil atau lebih mesra disapa sebagai Hariz yang membawa empat watak sekaligus dengan jayanya.

Ketika ditemui selepas pementasan, pengarah naskhah hebat ini sempat berkongsi strategi di sebalik kejayaannya menjadikan teater berunsur sejarah ini menarik sehingga mampu mengekalkan tumpuan penonton sehingga tamat.

“Sudah menjadi resam atau kebiasaan, kalau monodrama sahaja orang akan anggap membosankan kerana terlalu banyak dialog dan pertukaran karakter.

“Jadi, apabila saya dapat peluang dan bantuan dana yang baik untuk buat satu monodrama berskala besar, timbul bermacam-macam idea kerana saya biasa buat teater bangsawan, purba dan drama pentas biasa.

“Semua teknik pementasan itu saya gabungkan dalam monodrama ini. Saya orang filem, dan saya juga orang drama,” katanya.

Tambahan pula, Raja Azrey turut mengggunakan segala kelebihan yang ada sepanjang berlakon drama atau filem.

“Alhamdulillah, kombinasi yang saya masukkan ternyata memberi impak yang baik dan menerbitkan keseronokan penonton untuk terus duduk di kerusi tanpa keluar dalam tempoh satu jam dua puluh minit.

“Kebiasaannya, monodrama cuma berdurasi 45 atau 55 minit, tapi kali ini dengan Hariz, saya berjaya wujudkan seolah-olah ada 20 pelakon di atas pentas itu.

“Kalau diberi peluang sekali lagi, saya akan gunakan formula ini untuk tarik penonton supaya mereka mahu menonton cerita-cerita berunsur monodrama,” katanya.

Cabaran buat Raja Azrey

Dalam sesi temubual bersama Zass, pengarah serba boleh ini turut melahirkan rasa syukur dan terharunya terhadap pementasan tersebut.

“Saya terharu dan sebak melihat kejayaan persembahan malam ni. Bukan mudah sebenarnya nak buat satu pementasan monodrama dengan skala yang sangat besar, apatah lagi membawa cerita berunsur sejarah dan berpandukan fakta.

“Kalau saya imbas kembali dari saat saya mula berbincang dengan pihak penganjur dan produksi, terlalu banyak halangan sebenarnya untuk saya sampai ke tahap ini.

“Untuk dapat empat watak ciptaan saya yang dilakonkan Hariz pun sebenarnya bukan mudah,” pujinya.

Tambah pengarah ini, walaupun Hariz bukan pelakon yang sangat popular, tapi dia berjaya membuktikan kehebatannya.

“Alhamdulillah, mungkin Allah nak bantu juga saya jayakan pementasan teater ini, lalu saya dipertemukan dengan seorang pelakon yang sangat hebat.

“Kebolehan dan bakat semulajadi yang terhasil daripada latihan dan komitmennya yang baik buatkan saya rasa perkara itu lebih popular daripada diri dia sendiri,” katanya.

Antara babak yang membuatkan penonton terpegun adalah ketika Dol Said yang ‘diterbangkan’ di samping Hariz yang bertukar watak dan kostum menjadi seorang wanita, iaitu isteri kepada Dol Said.

Menariknya, pertukaran kostum dilakukan di atas pentas sehingga penonton berasa terhibur dengan pertukaran watak serta merta yang terjadi secara langsung itu.

Raja Azrey bagaimanapun, menganggap reaksi penonton ketika babak itu dilakonkan sebagai percubaan berjaya apabila penonton boleh menerima pelakon yang berpakaian seperti wanita itu sebagai isteri Dol Said.

“Saya tak jangka penonton akan ketawa, tetapi saya yakin, ada suatu keseronokan yang dirasakan oleh mereka apabila melihat wanita yang saya wujudkan di atas pentas itu.

“Itu cabaran saya paling tinggi, iaitu bagaimana nak jadikan Hariz ini seorang wanita sedangkan dia seorang lelaki.

“Jadi, saya gunakan teknik audio dicampur dengan teknik lakonan ‘silence comedy miming’, Alhamdulillah, saya berjaya.

“Ketawanya penonton itu adalah kerana mereka seronok melihat seorang wanita comel yang dilakonkan oleh seorang lelaki,” katanya.

Berkenaan babak pertukaran kostum yang dilakukan di hadapan penonton, Raja Azrey menyatakan terlalu banyak pertukaran yang telah dilakukan di belakang pentas.

Baginya, lebih baik penonton melihat transformasi berlaku di hadapan mereka sambil lampu memberikan gambaran bayang-bayang bahawa ada mimpi yang sedang berlaku.

Babak tersebut boleh dipuji kerana menampilkan kelainan di samping idea kreatif yang ditonjolkan dalam pementasan.

Hariz pilihan tepat!

Terdahulu dalam pra pelancaran teater ini, beberapa nama besar seperti Awie, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rosyam Nor dan Faizal Hussein dilihat sebagai pelakon potensi untuk menerajui pementasan tersebut.

Namun, sudah tersurat akhirnya rezeki jatuh ke tangan Hariz, lebih-lebih lagi apabila jejaka tersebut memiliki kemahiran untuk melaksanakan visi Raja Azrey di samping mampu menghafal dialog penuh hanya dalam tempoh seminggu.

Pengarah yang turut dikenali melalui telefilem Blok 404 dan Kem 505 ini bagaimanapun menyangkal dakwaan bahawa Hariz merupakan pilihan terakhir untuk melakonkan watak teater Dol Said itu.

“Tak pernah terlintas dalam fikiran saya menyatakan Hariz pilihan terakhir. Bagi saya, sesiapa sahaja pun yang dipilih, sama sahaja. Cuma bezanya, seperti yang saya katakan dia bukan seperti pelakon popular yang lain.

“Tapi, keinginan saya untuk melihat pementasan teater ini tercapai sekarang kerana kemampuan diri Hariz yang sangat bagus.

“Ianya terbukti sepanjang beberapa malam persembahan dijalankan. Itu kredit yang saya patut bagi pada dia,” ujarnya.

Mengulas lebih lanjut tentang disiplin yang ditunjukkan Hariz, Raja Azrey menegaskan tanpa komitmen yang bagus, sudah tentu seseorang pelakon tidak dapat membawa watak seperti yang diinginkan pengarah.

“Hariz patuh dengan arahan dan menghormati setiap patah dialog yang ditulis sehingga dia tidak berani membuang sepatah dialog pun tanpa keizinan saya.

“Semua dialog yang dipentaskan sama seperti dialog sejak hari mereka melakukan latihan sehingga masuk panggung untuk raptai ‘full dress’,” katanya.

Malah sehingga malam terakhir persembahan empat hari berturut-turut itu berlangsung, tiada sepatah dialog pun yang tertinggal dilontarkan Hariz dalam teater tersebut.

“Syukur Alhamdulillah, saya rasa Hariz boleh pergi jauh dan dia mampu menjadi pelakon hebat. Saya sangat beruntung mempunyai pelakon hebat untuk teater yang sangat hebat ini,” katanya.

Ujar Raja Azrey, harapannya adalah adalah untuk membawa teater Dol Said ini lebih jauh dan keluar daripada Kuala Lumpur, bergantung kepada kemampuan produksi selepas ini.

“Objektif asal kami adalah untuk memperkenalkan sejarah Dol Said ini, terutamanya Naning kepada anak-anak muda. Andai kata saya diberi peluang untuk mementaskan lagi teater berunsur sejarah dengan kejayaan teater Dol Said ini, mustahil saya akan menolak.

“Sudah menjadi darah daging saya untuk sahut cabaran sebagai seorang aktivis teater, tak kira genre teater itu saya suka atau tidak.

“Walaupun genre kegemaran saya selama ini adalah komedi, tapi kali ini saya berjaya buat luar dari kebiasaan saya,” katanya.

Kehebatan Ungku Hariz

Kehebatan pelakon berusia 29 tahun ini tidak dapat disangkal apabila dia berjaya membawa empat karakter berbeza iaitu Dol Said, isteri Dol Said, Gabenor British Tanah Melayu R Ibbetson dan Syed Syaaban dalam satu pementasan yang berat.

Malah, dalam sekelip mata, Hariz mampu menukar suara dan wataknya dari seorang yang muda kepada tua, dari seorang pahlawan Melayu kepada pegawai British dan dari seorang lelaki kepada wanita.

Timbul rasa kagum apabila melihat tenaga Hariz di atas pentas yang berterusan dalam menyampaikan kesemua karakter tersebut dengan jayanya sepanjang persembahan.

Ujar Hariz, apa yang dikecapi ketika pementasan bermula daripada sesi latihan dan teknik lakonan yang betul.

“Dari sesi latihan, saya selalu terapkan untuk panaskan badan betul-betul. Saya diajar untuk buat latihan kecergasan secara agresif untuk ‘fit’ dan bertenaga dan Alhamdulillah benda tu membantu dan menjadi.

“Boleh saya katakan 90 peratus adalah lontaran suara dan teknik yang betul saya gunakan semasa melakonkan monodrama ini.

“Masih boleh diperbaiki, tapi secara keseluruhan saya berpuas hati dengan lakonan yang telah saya tampilkan,” katanya.

Kecil hati?

Akui Hariz, dia langsung tidak berkecil hati kerana dipilih melakonkan teater ini setelah pelakon lain yang disenaraikan terlebih dahulu oleh pengarah tidak dapat memberikan komitmen.

“Tak kecil hati langsung, malah berbesar hati adalah. Sebab ini projek besar, melibatkan orang-orang besar seperti orang istana dan sebagainya.

“Ditambah pula cuma saya seorang pelakonnya. Saya anggap ini rezeki Tuhan. Maksud saya, di antara pelakon terkenal yang ditawarkan berlakon teater ini, tapi akhirnya tawaran ini jatuh kepada saya yang kurang nama.

“Jadi saya anggap itu satu rezeki dan jodoh untuk mendapat watak tersebut,” ujarnya.

Salah satu babak yang menyerlahkan Hariz sebagai pelakon serba boleh adalah apabila dia perlu bercakap dalam Bahasa Inggeris menggunakan dialek British semasa melakonkan watak Gabenor R Ibbetson.

Kredit harus diberikan apabila dia berjaya menyampaikan patah-patah dialog dalam dialek British yang petah dan berkesan, justeru Hariz juga tidak menafikan dia selesa bertutur dalam Bahasa Inggeris selain bahasa ibunda.

“Saya memang dibesarkan dengan banyak bercakap dalam Bahasa Inggeris, jadi saya boleh berbahasa Inggeris.

“Tapi sudah tentu, dialek British ini lain. Jadi, saya banyakkan tengok cerita-cerita British untuk belajar nak cakap dalam ‘British accent’ tu,” katanya sambil ketawa.

Ingin nama Dol Said ‘melekat’

Bercerita mengenai harapannya untuk teater monodrama itu, pemenang tempat ketiga program realiti Pilih Kasih 2 ini ingin diingati sebagai individu yang membawa watak Dol Said sehingga nama itu melekat dengannya.

“Kalau boleh biarlah teater Dol Said ini melekat dengan nama saya. Contoh macam monodrama Rebak Berbisik yang dilakonkan Rosnan Rahman, orang tahu hanya dia yang boleh bawa watak dalam teater itu.

“Saya nak dilabelkan begitu. Kalau sebut Dol Said sahaja, orang akan ingat Ungku Hariz,” katanya.

Ketika diajukan soalan antara lakonan teater dengan layar, mana satu yang lebih menjadi pilihannya, Hariz senang berterus-terang menyatakan lakonan layar perlu kerana ia membuka punca rezeki utama.

“Jujur, lakonan layar itu perlu lebih sebab ia adalah punca rezeki sebagai pelakon. Tapi, teater Dol Said ini pun rezeki buat saya sebab kebetulan lepas saya habis penggambaran Jodoh 2, Abang Raja Azrey tawarkan saya berlakon monodrama ni.

“Saya rasa selepas ini semuanya bergantung kepada masa terluang saya, kemampuan saya dan skrip itu sendiri. Kalau ada peluang untuk saya buat teater, saya buatlah.

“Saya bermula daripada teater. Dari situ saya banyak belajar asas lakon, sampai satu hari saya soal diri saya, macam mana nak tunjukkan apa yang saya minat ni untuk buat duit? Caranya adalah dengan pergi ke lakon layar sahaja,” katanya.

Menurut pemilik kelulusan Diploma dalam bidang Pengajian Perniagaan, ini, selepas program realiti, Pilih kasih 2, dia memilih untuk menjadi pelakon sepenuh masa.

“Sebenarnya dah agak lama, hampir setahun lebih saya tak kembali ke pentas teater. Kembali pula terus berlakon teater yang begitu berat.

“Jadi, ini mungkin ‘comeback’ saya yang saya rasa sangat puas.” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, selepas teater monodrama Dol Said, Hariz bakal menjalani penggambaran dua telefilem disamping menunggu tayangan telefilem khas Tribute P Ramlee, Seteguh Kasih Ibunda yang diarahkan oleh Osman Ali.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");