Berita Hari Ini

Lebih 5,000 Sukarelawan Kebajikan diperlukan

gambar rohani

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mencari sukarelawan kebajikan melalui Program Khidmat Bantu di Rumah bagi membantu golongan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) menjalani kehidupan seharian mereka.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, jumlah sukarelawan kebajikan ini tidak mencukupi kerana bilangan sebenar golongan warga emas dan OKU yang memerlukan bantuan di seluruh Malaysia ialah 178, 604.

“Jadi untuk membantu klien tersebut, sekurang-kurangnya lebih 5,000 sukarelawan kebajikan lagi diperlukan.

“Justeru, saya ingin menyeru orang ramai agar mengambil peluang ini untuk berbakti kepada masyarakat bagi membantu golongan tersebut dengan mendaftarkan diri di JKM melalui Program Khidmat Bantu di Rumah.

“Melalui program ini juga ia secara tidak langsung dapat memupuk masyarakat penyayang di kalangan komuniti setempat,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Ibu 2014 di sini baru-baru ini.

Setakat ini terdapat 1,700 sukarelawan kebajikan telah dilantik yang hanya boleh membantu seramai 4,379 golongan warga emas dan OKU yang juga dinamakan sebagai klien.

Menurut Rohani, melalui Program Khidmat Bantu di Rumah ini secara tidak langsung akan memberi peluang kepada pelanggan untuk menjalani kehidupan dengan penuh ceria dalam suasana kekeluargaan.

“Biasanya golongan warga emas yang hidup bersendirian berasa sunyi di rumah tanpa anak-anak yang mungkin tinggal jauh atau keluar bekerja. Hal ini ditambah pula dengan masalah kesihatan yang mungkin menyukarkan mereka untuk melakukan kerja-kerja rumah.

“Jadi dengan adanya sukarelawan kebajikan ini, ia diharap dapat membantu serta menceriakan hidup mereka dan suasana kekeluargaan,” katanya.

Program Khidmat Bantu di Rumah (Home Help Services) ini diwujudkan sejak tahun 2009 dan berkonsepkan ‘social outreach’ bagi memberi khidmat sokongan kepada warga emas dan OKU.

Khidmat bantuan yang disalurkan oleh sukarelawan terlatih melalui program ini ialah menyediakan makan minum, membersihkan tempat tinggal, membeli keperluan harian, membawa ke hospital atau klinik, menemani ke tempat beribadat dan segala bentuk bantuan lain yang dirasakan perlu.

“Bagi sesiapa yang berminat dan terbuka hati untuk menjadi sukarelawan kebajikan boleh mengunjungi Pejabat Daerah Kebajikan Masyarakat yang terdapat di seluruh Negara ataupun berdaftar secara online di e-JKM dengan melayari laman sesawang JKM,” ujar Rohani.

– MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");