Perak Hari Ini

‘Lima Anak Yatim Piatu Tidak Akan Dipisahkan’: Waris

Waris terdekat kepada lima adik-beradik yang menjadi yatim piatu dalam sekelip mata akibat kehilangan ibu-bapa dalam kemalangan ngeri di susur keluar Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pagi semalam berjanji tidak akan memisahkan ahli keluarga itu walaupun ada pihak berminat mengambil mereka sebagai anak angkat.

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang berkesempatan melawat kelima-lima adik beradik itu di Kampung Changkat Sulaiman, dekat Sungkai hari ini juga dimaklumkan bahawa waris terdekat turut berjanji akan menjaga Mohd Haikal Jeffri, 16; Nur Fatin Adlina, 14; Mohd Aidil, lapan tahun; Nor Syamimi, empat tahun dan Nor Auni Safiya, dua tahun, dengan sebaik mungkin.

“Saya pasti ramai yang sedih dan tersentuh dengan nasib yang menimpa ibu-bapa mereka, Allahyarham Jeffri Mohd Zain dan Norsalawati Ibrahim yang maut dalam kemalangan ngeri, pagi semalam.

“Saya difahamkan waris terdekat yang tinggal berdekatan rumah mereka di Cheras akan bertindak sebagai penjaga kepada Mohd Haikal dan keempat-empat adiknya,” katanya lagi.

Khusairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim turut menghulurkan sumbangan peribadi kepada kelima-lima adik-beradik terbabit.

Mengulas tindakan pihak tertentu yang menawarkan khidmat mengutip derma bagi membantu kelima-lima anak yatim itu di laman sosial Facebook, beliau berkata, selepas gambar mereka tersebar, ribuan pengguna menyatakan rasa simpati dan sedih di atas kejadian yang menimpa keluarga berkenaan.

“Kita juga tidak boleh halang orang di luar sana untuk hulur bantuan kewangan cuma saya harap jangan ada pihak yang mengambil kesempatan.

“Bagi saya, adalah lebih baik jika kita serahkan sendiri bantuan kepada waris terdekat mereka,” katanya lagi.

IMG_26120599125171

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, motosikal yang dinaiki Jeffri dan Norsalawati dipercayai hilang kawalan dan mereka terjatuh sebelum digilis tayar belakang kenderaan berat yang membawa muatan pasir.

Jeffri yang bekerja sebagai juruteknik mesin fotostat dikatakan dalam perjalanan dari rumah mereka di Pangsapuri Taman Desa Cheras untuk menghantar isterinya yang bekerja di sebuah kilang berhampiran Jalan Chan Sow Lin.

Difahamkan jenazah suami-isteri itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Changkat Sulaiman selepas solat Isyak, malam tadi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");