Jenayah

Mangsa simbah asid stabil

mangsa simbah asid

ALOR SETAR – Pelajar tahun dua Sekolah Rendah Agama Islah, Abdul Hakim Wafi Abdul Razak yang menjadi mangsa simbah asid bersama pasangan perniaga nasi lemak dalam kejadian Khamis lalu dilaporkan stabil.

Ibu mangsa, Nazriah Abdul Rahman, 41, berkata, keadaan anaknya kini stabil selepas mendapat rawatan di Unit Kebakaran Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) walaupun masih belum dibenarkan pulang.

Menurutnya, walaupun masih trauma dan terkejut dalam kejadian yang menimpa anak ketiga daripada empat beradik itu, namun dia bersyukur kerana doktor mengesahkan kecederaan yang dialami tidak serius.

“Setakat ini keadaan Wafi bertambah baik dan beransur pulih. Matanya langsung tidak terjejas, cuma mukanya masih kelihatan bengkak sedikit akibat kesan melecur selepas disimbah cecair.

“Wafi juga semakin aktif dan ceria, kini kami hanya menunggu keputusan doktor sebelum dia dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Tambah Nazriah, dia berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan terperinci dan menahan kesemua suspek yang melakukan kejadian itu dengan segera bagi mengelakkan kejadian sama berlaku kepada individu lain.

Sementara itu, anak ketiga kepada pasangan peniaga nasi lemak itu, Mohd Fairuz Azim Osman, 25, ketika dihubungi berkata, ibunya Fatimah Syafie, 46, telah dibenarkan keluar dari hospital itu tengah hari kelmarin, manakala ayahnya, Shamsudin Samat, 60, masih lagi dirawat di HSB.

“Keadaan ibu masih trauma dengan apa yang berlaku dan kini menetap di rumah abang sementara waktu sehingga semangatnya kembali pulih.

“Ibu juga bertambah baik biarpun melecur di bahagian belakang badan. Selain diberi ubat, doktor juga menyuruh kami membawa ibu ke HSB dua hari sekali untuk mendapat rawatan susulan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pihak polis sebelum ini menahan seorang lelaki dipercayai boleh membantu siasatan kes berkenaan yang berlaku di sebuah gerai nasi lemak di Jalan Tanah Merah, Pendang.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Supritendan Abdul Aziz Ahmad berkata, lelaki itu ditahan di sekitar kawasan pekan Langgar dekat sini, pagi kelmarin hasil maklumat awam dan risikan polis.
Difahamkan, suspek kini masih direman bagi membantu siasatan kes tersebut.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");