Jenayah

Mati pada hari jadi

mati mengejut

Alor Gajah: Hasrat seorang pekerja kilang biskut warga Nepal menyambut hari kelahirannya yang jatuh pada Hari Wesak semalam, tidak kesampaian apabila dia ditemui mati dalam bilik asrama penginapan pekerja di Kampung Kelemak, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, mangsa, Nir Kumar Newar, 24, ditemui mati jam 8 pagi dalam keadaan telentang di atas katil asrama pekerja oleh beberapa rakan.

Menurut sumber, mangsa pulang dari tempat kerja jam 6 pagi dan sempat berbual bersama rakan serumahnya sebelum memaklumkan ingin tidur kerana penat.

“Nir Kumar yang fasih berbahasa Melayu dipercayai bekerja di kilang itu sejak lima tahun lalu dan difahamkan akan pulang ke negara asalnya dalam masa terdekat.

“Mangsa dikatakan seorang yang disenangi rakan serumah dan sentiasa ceria serta ramah, malah suka membantu rakan lain biarpun sibuk bekerja.

Dia juga dikatakan sering bekerja lebih masa untuk membantu keluarganya,” kata sumber itu di sini, semalam.

Menurut sumber berkenaan, mangsa yang sepatutnya menyambut hari jadinya semalam kelihatan ceria dan bertegur sapa dengan rakan sebelum memulakan kerja pada jam 10 malam kelmarin.

“Bagaimanapun, sikapnya yang ceria tiba-tiba bertukar apabila kelihatan murung dan berdiam diri ketika bekerja sebelum pulang ke asrama jam 6 pagi tadi (semalam).

“Malah, mangsa sempat memberitahu beberapa rakan serumah yang dia berkemungkinan akan pulang ke negara asalnya lebih awal bergantung kepada keadaan kerana sentiasa sibuk sejak kebelakangan ini, namun malangnya semua impian itu tidak kesampaian,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu berkata, difahamkan, mangsa tidak pernah mengadu kepada rakan yang dia mengalami penyakit kerana sentiasa sihat.

Jurucakap paramedik yang melakukan pemeriksaan ke atas mayat mangsa yang terbaring di atas katil bertingkat dalam kedudukan telentang mendakwa mangsa dipercayai mati ketika dalam tidur dan tiada kesan lebam pada badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham berkata, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan siasatan awal kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");