Jenayah

Mayat ditemui terapung di Sungai Kerian

jenayah

NIBONG TEBAL – Mayat seorang lelaki yang berpakaian lengkap serba hitam dengan matanya ditutup dengan kain ditemui terapung di Sungai Kerian, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat berkata mayat lelaki tanpa sebarang dokumen perjalanan diri itu ditemui nelayan yang sedang menangkap ikan di sungai berkenaan pada pukul 9.30 pagi tadi.

“Pada mulanya nelayan itu menyangka benda yang terapung dan tersangkut di tebing sungai berkenaan adalah sampah berikutan ia berwarna hitam bagaimanapun setelah mendekatinya baru menyedari itu adalah mayat,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata nelayan berkenaan terus menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu sebelum sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menghantar mayat itu ke Hospital Seberang Jaya, dekat sini untuk dibedah siasat.

Shafien berkata berdasarkan keadaan mayat itu, polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah mati sekurang-kurangnya tiga hari sebelum ditemui hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan awal polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan di badan mangsa.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita menunggu laporan bedah siasat sebelum mengklasifikasikan kes berkenaan sama ada mangsa dibunuh atau terjatuh ke dalam sungai berkenaan,” katanya.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau kehilangan anggota keluarga supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");