TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dijadual melancarkan jentera pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan petang esok, yakni dua hari sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan pada Isnin ini.
Datuk Mah Siew Keong yang kini merupakan Presiden Gerakan dijangka dipilih semula sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya itu walaupun beliau tewas kepada mendiang Seah Leong Peng daripada parti DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
Leong Peng menang majoriti selesa 7,313 undi sekaligus meneruskan penguasaan parti pembangkang di Parlimen Teluk Intan.
Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 60,349 pemilih berdaftar layak pengundi pada PRK kali ini yang terdiri daripada Cina 25,310 orang (41.94 peratus), Melayu 23,301 (38.61 peratus), India 11,468 (19 peratus) dan kaum-kaum lain.
Sementara itu, jumlah pengundi wanita di kawasan parlimen Teluk Intan adalah 31,049 (51.45 peratus) dan lelaki 29,300 (48.55 peratus)
Pengundi paling ramai adalah mereka yang berumur antara 30 hingga 39 tahun merangkumi 12,365 pengundi (20.49 peratus); diikuti 12,242 (20.29 peratus) berumur 50 hingga 59 tahun dan 11,446 (18.97 peratus) berumur 40 hingga 49 tahun.
Setakat ini, bekas Naib Pengerusi Jawatankuasa Interim DAP Kedah, Syed Araniri Syed Ahmad mengumumkan akan bertanding pada PRK Parlimen Teluk Intan sebagai calon Bebas.
Manakala DAP pula disebut-sebut bakal mempertaruhkan seorang calon wanita Melayu yang masih muda sebagai saingan utama kepada BN.
Di sebalik ramalan itu, kebanyakan pengundi yang ditemui mahu pucuk pimpinan BN mencalonkan muka baru untuk bertanding pada pilihan raya terbabit.
Seorang pengundi dari Kampung Selabak yang enggan dikenali berkata, peluang bertanding perlu diberi kepada calon lain memandangkan Siew Kong gagal memenangi sokongan rakyat pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.
Tegasnya, BN mempunyai peluang lebih cerah jika meletakkan calon daripada UMNO atau MIC walaupun secara tradisinya kerusi Parlimen Teluk Intan adalah merupakan kouta Gerakan.
Seorang pengundi muda pula berkata, kemenangan berpihak parti pembangkang pada PRU-13 kerana rakyat tidak menyukai calon BN pada ketika itu yang dikatakan lebih berpihak kepada pengundi Cina berbanding kaum Melayu dan India.
“Kami mahu wakil rakyat yang sanggup membela nasib semua kaum di Teluk Intan. Sentiasa prihatin dan turun padang untuk meninjau masalah dan bukannya hanya nampak batang hidung apabila musim pilihan raya,” katanya lagi.
Selain pemilihan calon yang sesuai, BN katanya, perlu memastikan agenda pembangunan sentiasa berterusan baik dari segi ekonomi atau pun sosial.
Ulasnya, ekonomi kaum Melayu dan India perlu diperkasakan lagi memandangkan mereka masih agak ketinggalan dengan membawa lebih banyak pelaburan di kawasan Teluk Intan.
“Peluang kerja yang terhad menyebabkan golongan muda terpaksa berhijrah untuk merebut pekerjaan.
“Jika kerajaan dapat mewujudkan lebih banyak peluang kerja, sokongan golongan muda terhadap BN mungkin akan meningkat,” tegasnya lagi.