Jenayah

Nafi jual produk tidak selamat

nafi jual produk tak selamat

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya produk dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tidak selamat dan tidak berkualiti.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek, memberi jaminan bahawa kesemua produk di KR1M adalah selamat dan berkualiti walaupun harganya jauh lebih rendah berbanding harga barangan yang sama di pasarkan di kedai lain.

“Tuduhan seperti ini mempunyai niat tidak elok dan bertujuan melumpuhkan usaha kerajaan dalam menyediakan alternatif kepada rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah untuk membeli barangan harian pada harga berpatutan.

“Kalau betul ada penipuan, maklumkan kepada kita agar kementerian boleh mengambil tindakan sepatutnya bukan hanya sekadar cakap kosong tanpa laporan rasmi berserta butiran lengkap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada media selepas merasmikan KR1M, Jalan Sultan Omar Kuala Terengganu, di sini, kelmarin. Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Mengulas lanjut, Hasan menegaskan kesemua produk makanan dijual disahkan selamat oleh Kementerian Kesihatan dan ia mempunyai label Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) yang membuktikan jaminan kualitinya.

“Sebab itu, kementerian mahu menggandakan usaha untuk memberi pendidikan kepenggunaan agar rakyat di negara ini menjadi pengguna yang bijak dan berhemah serta tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu.

“Jika benar ada penipuan mengenai kualiti makanan, Persatuan Pengguna negeri dan daerah boleh membuat laporan kepada kementerian melalui e-aduan sekali gus membolehkan siasatan dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Hasan berkata, sehingga kini terdapat tiga KR1M beroperasi di negeri Terengganu iaitu KR1M di Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Katanya, terdapat 378 jenis produk dijual di KR1M merangkumi produk makanan dan bukan makanan, malah kementerian juga akan memperluas jualan produk barangan basah secara berperingkat di KR1M seluruh negara.

Katanya, kerajaan serius dalam menangani kos sara hidup yang dialami rakyat berpendapatan rendah tinggal di kawasan bandar mahupun luar bandar dengan memberi pilihan kepada mereka berbelanja di kedai harga patut.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");