Membawang Hari Ini

Noh masih setia bersama Hujan

noh setia bersama hujan

Tampil secara solo bersama kumpulan Da Vagabonds bukan bermaksud vokalis Hujan, Noh Salleh sudah mengundurkan diri dari band popular itu. Sebaliknya, Noh, 29, memberitahu dia masih setia bersama Hujan dan kumpulan itu masih belum berpecah sampai sekarang.

“Siapa kata Hujan sudah berpecah? Kami masih lagi bersama sampai sekarang. Malah, anggota Hujan juga merestui hasrat saya untuk menyertai Da Vagabonds.

“Walaupun sudah menyertai Da Vagabonds, saya masih memenuhi undangan persembahan bersama Hujan seperti biasa. Apa yang penting, saya perlu memberikan komitmen terbaik untuk kedua-dua kumpulan ini,” katanya.

Pada masa sama, Noh juga menafikan dia menyertai Da Vagabonds kerana ada perselisihan faham dengan ahli kumpulan Hujan, sebelum ini.

“Sekalipun ada perselisihan pendapat dalam band, tetapi saya sudah menganggap ahli kumpulan Hujan seperti adik beradik sendiri. Maklumlah, kami sudah mengharungi susah dan senang bersama selama 10 tahun dan saya juga tidak pernah terfikir untuk keluar daripada Hujan kerana kami sudah sebati sejak dulu,” katanya.

Selain Noh, kumpulan Hujan dianggotai empat lagi anggota, Am, AG Coco, Dimas dan Izzat.

Mengulas lanjut mengenai penubuhan Da Vagabonds, kata Noh, kumpulan itu ditubuhkan atas dasar haluan dan cita rasa muzik mereka yang sama. Da Vagabonds pernah membuat kemunculan sulung mereka sempena perlawanan akhir Piala FA pada 29 Jun 2013.

“Saya turut mengeksprestasikan muzik berentak rock & roll dengan Da Vagabonds sama seperti ketika zaman awal penubuhan Hujan dulu. Nama Da Vagabonds adalah dari karakter komik manga iaitu Miyamoto Musashi oleh Takehiko Inoue.

“Ahli kumpulan Da Vagabonds ialah Heri Hamid (gitar utama), Alea Sutan (bass) dan Irfan Iskandar (dram). Bagaimanapun, satu-satunya anggota wanita dalam kumpulan ini, Alea yang sudah berhijab berehat seketika dari kumpulan ini kerana dia baru saja berkahwin.

“Alea masih bersama Da Vagabonds, tetapi saya perlu meminta izin dari suaminya terlebih dulu jika kami ada undangan persembahan selepas ini,” katanya.

Noh berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran runut bunyi filem CEO berjudul Serahkan Segalanya yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Ditanya mengenai lagu tema itu, kata Noh, dia gembira kerana lagu dendangan kumpulan Da Vagabonds itu terpilih menjadi lagu tema filem terbitan Arafilm Sdn Bhd berkenaan.

“Lagu tema ini adalah hasil ciptaan saya sepenuhnya dan siap tahun lalu. Selain menampilkan melodi yang rancak dan liriknya yang mudah dihafal pendengar, ia juga sesuai dengan jalan cerita filem CEO,” katanya.

Filem CEO menampilkan barisan pelakon seperti Beto Kusyairi, Remy Ishak dan Cristina Suzanne dan bakal ditayangkan di pawagam seluruh tanah air pada 12 Jun depan.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata, dia juga bakal muncul dengan bingkisan album solonya pada Jun nanti.

“Selepas sekian lama, baru saya yakin untuk menghasilkan album solo ini. Idea untuk menghasilkan lagu tercetus selepas saya mencipta lagu duet bersama isteri berjudul Kurnia. Menerusi album ini, saya mahu mengalih minda pendengar dengan menyuntik elemen muzik pop nusantara,” katanya.

Kata Noh lagi, album solonya itu juga bakal memuatkan lima lagu, Angin Kencang yang dicipta khas untuk isterinya Mizz Nina ketika kami berjauhan, Biar Seribu, Bunga Di Telinga, Gelung dan Sang Penikam.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");