Jenayah

Nyawa diasak bom, peluru

Kenangan duka menaiki trak apabila diserang hendap komunis:-

PELURU itu datang seperti hujan. Empat melekat di tubuh saya dan tiga lagi tembus keluar. Ketika itu saya fikir mati…” kata bekas anggota Batalion 3, Pasukan Polis Hutan (PPH), Bahari Ismail memulakan cerita ketika berdepan serangan komunis.

Kejadian tersebut tidak pernah dapat dilupakan hingga ke hari ini meskipun ia berlaku Disember 1976. Pada masa itu, sekitar jam 6 petang pasukan Bahari bertolak untuk bertukar tugas dalam hutan melalui Jalan Keroh-Grek, Perak.

Bagaimanapun penerbangan dibatalkan dan pasukan itu berpatah balik tetapi malangnya dalam perjalanan mereka diserang hendap oleh tentera komunis dari dua arah.

Pasukan bergerak di jalan sempit itu melibatkan dua kereta perisai yang mengawal di depan dan belakang. Di antara kedua kenderaan tersebut, ada sembilan lori yang membawa 15 anggota setiap satu. Bahari menaiki pacuan empat roda bersama tiga lagi rakan di belakang perisai pertama.

Katanya, disebabkan jalan yang sempit dan hanya cukup sebuah kenderaan melaluinya memberi kelebihan kepada musuh untuk menyerang menyukarkan bantuan kereta perisai, keadaan yang tenang tiba-tiba haru-biru dengan tujahan peluru yang datang seperti hujan.

Dalam tempoh setengah jam waktu getir berdepan dengan peluru, Bahari dan tiga rakan berlari keluar menyelamatkan diri, Bahari berlindung di tayar kereta terus membuat serangan balas.

Empat terkorban

“Peluru yang mengena badan terasa seperti kena jentik. Sedar tidak sedar ada empat yang mengena di dada kiri, saya cabut dan mujur ia tidak kena jantung, bak kata orang berpantang maut sebelum ajal.

“Dalam setengah jam itu kami terus bergelut dengan serangan komunis, bukan sahaja dari arah atas malah kami turut diserang dari bawah lereng bukit. Satu peluru hampir tertusuk di tapak kaki saya.

“Pergelutan kami berakhir apabila bantuan perisai tiba dan menyerang kembali. Ada 40 longgok peluru komunis yang kita temui bermakna ada 40 komunis ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Peristiwa itu mustahil dapat dilupakan Bahari yang terlantar sebulan di hospital dan sehingga kini masih terdapat empat peluru di dalam tubuhnya iaitu di siku, belakang badan, dan dua di betis.

“Peluru yang berada di tulang betis dan risiko untuk mengeluarkannya mungkin boleh mengakibatkan saya lumpuh,” katanya yang menerima wang sagu hati RM100 rentetan peristiwa berdarah itu.

Bahari yang kini tinggal di Batu Cave, Gombak turut berkongsi pengalaman getirnya ketika menghapuskan komunis di kawasan hutan Keramat Pulai, Ipoh pada Jun 1976. Katanya, kawasan tersebut sepatutnya kawasan putih untuk rekrut membuat latihan.

“Semasa kumpulan 15 pelatih berjalan di dalam hutan, tiba-tiba orang paling hadapan ditembak komunis dan menghembuskan nafas di tempat kejadian.

“Dua pelatih lain dan ketua pasukan turut menerima nasib yang sama. Ini menyebabkan empat terkorban pada kejadian tersebut,” katanya.

Bahari menambah, apabila 11 rekrut menyedari mereka diserang hendap musuh, segera mengambil tindakan serang semula. Kawasan tersebut dijadikan kawasan gerakan cari komunis. Beliau yang menerima arahan untuk bantu buat semboyan pasukan tersebut, secara
bersendirian masuk ke hutan dan menemui mereka.

“Kami berkhemah di dalam kawasan berhampiran khemah komunis. Tugas saya masa itu bagi maklumat ke luar untuk melaporkan keadaan anggota dan kawasan operasi setiap petang.

Selama dua malam berturut-turut kami dengar pasukan tentera menembak meriam dari pekan Keramat Pulai ke kawasan komunis, yang berhampiran tempat kami berkhemah.

Bom jatuh di atas khemah

“Malam ketiga serpihan bom jatuh atas khemah kami.

Saya segera hubungi ibu pejabat untuk maklumkan perkara itu. Ketika tengah borak, tiba-tiba tiga biji bom jatuh ke dalam khemah, manakala tiga biji bom lagi di luar.

“Masa tu saya dengar ramai yang menjerit ‘aduh kita kena’. Sarjan minta saya hubungi semula ibu pejabat minta askar segera berhenti tembak.”

Dalam keadaan kelam-kabut, masing-masing cuba mencari tempat perlindungan. Bahari hanya mengalami luka di tangan apabila terkena serpihan bom. Nyawanya juga bagaikan hujung tanduk apabila sebutir bom jatuh berhampiran tempat beliau meniarap. “Bila keadaan
reda, saya dan koperal mencari anggota lain. Kami dapati sarjan mengalami cedera parah dan menghembus nafas terakhir.

“Dua anggota lain sempat berlindung di dalam kubu turut meninggal dunia. Hanya dua anggota dari Sarawak selamat manakala yang lain mengalami cedera ringan dan parah.

“Menjelang Subuh, pasukan perubatan datang memberi bantuan. Walaupun kebanyakan anggota telah cedera teruk dan dua meninggal dunia, tapi kami meredah hutan dan harungi sungai untuk keluar dari kawasan tersebut,” katanya.

Beliau yang bersara pada 1996, kini berusia 45 tahun pernah menjadi ketua polis daerah ketika bertugas di Kemboja pada 1994 selama 19 bulan bersama anggota daripada 21 negara lain.

Sementara itu Bahari turut mengingatkan generasi sekarang supaya menghargai keamanan yang diperoleh hasil perjuangan dan pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu.

“Perjuangan generasi sekarang memang berbeza daripada kita dahulu, tetapi apa yang kita capai sekarang sepatutnya disyukuri. Anak muda ramai yang tidak menyedari betapa susahnya untuk kita kecapi apa yang ada sekarang ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");